Peserta Darul Quran di Majlis Penganugerahan Sijil Kursus Pembelajaran dan Pengajaran Pensyarah Darul Quran dan Lokasi Tambahan Darul Quran 2023 di Auditorium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI
Oleh: Nurul Ainie binti Abdullah
UPSI: Kursus Pensijilan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Darul Quran dan Lokasi Tambahan Darul Quran merupakan satu program anjuran bersama antara Pusat Pembangunan Akademik, UPSI dan Darul Quran, JAKIM.
Kursus ini dianjurkan dengan objektif utamanya adalah untuk memantapkan kemahiran Pembelajaran dan Pengajaran serta penambahan pengetahuan terkini berkaitan PdP dalam kalangan pensyarah Darul Quran.
Pada 13 Julai 2023, satu Majlis Penganugerahan Sijil Kursus Pembelajaran dan Pengajaran Pensyarah Darul Quran dan Lokasi Tambahan Darul Quran 2023 anjuran Pusat Pembangunan Akademik telah diadakan secara gilang gemilang di Auditorium, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI. Seramai 63 orang graduan yang selesai menyertai kursus (PdP) anjuran PPA, UPSI telah menerima sijil.
Penganjuran majlis ini adalah untuk mengiktiraf penamatan pembelajaran bagi peserta Kursus Persijilan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Darul Quran selama 14 hari bekerja di lokasi yang terpilih. Penyampaian sijil kepada peserta yang telah tamat adalah sebagai signifikan mereka boleh menjalankan proses PdP di Darul Quran dan Lokasi Tambahan Darul Quran.
Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah Akademik dan Antarabangsa, UPSI iaitu YBrs. Prof. Dr. Abdul Rahim bin Razalli dan Pengarah Darul Quran, Tuan Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim bagi penyampaian sijil kepada penerima.
‘’Tahniah atas penganjuran majlis itu tadi yang dianggap cukup gah serta sangat meriah’’, ucap Azizan bin Othman, Ketua Unit Kompetensi, Darul Quran dan juga merangkap Liaison Officer DQ yang banyak memberi sumbangan dan membantu dalam pelaksanaan Kursus PdP. Majlis turut mendapat pujian daripada pihak pengurusan Darul Quran dan para graduan. Pihak Darul Quran berharap banyak lagi kerjasama yang boleh dijalankan dengan UPSI pada masa akan datang.