Foto: Fisol Ahmad (BKK)
Putrajaya: Majlis Pelancaran Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun 2023 peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah berlangsung pada 9 Ogos 2023. Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin turut dihadiri oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff.
Bertemakan “Malaysia Madani, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, sambutan ini menyasarkan perpaduan antara kaum di Malaysia bagi mencapai negara maju yang berbilang kaum.
Pelbagai bahan pameran dipamerkan oleh beberapa agensi termasuklah UPSI, UKM, UPNM, UniTeN, UniKL, MMU dan Politeknik bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan sekaligus memupuk sifat patriotisme dalam kalangan penjawat awam bersempena dengan bulan kemerdekaan pada tahun ini.
Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin turut berkesempatan melawat reruai Pameran Nostalgia Pendidikan Negara yang telah dikendalikan oleh pihak Muzium Pendidikan Nasional, UPSI, diketuai oleh Prof. Dr. Tajul Shuhaizam selaku Pengarah Institut Peradaban Melayu.
Melalui pengalaman dan cerita yang dihidangkan dalam pameran ini, UPSI sebagai universiti pendidikan terulung ingin membuktikan bagaimana pendidikan menjadi tulang belakang dalam mengukuhkan perpaduan di negara ini. Bermula daripada sistem pendidikan inklusif hingga kepada usaha masyarakat dalam menyokong pendidikan merentasi sempadan budaya dan kaum, pameran ini memaparkan betapa pentingnya peranan pendidikan dalam membina jalinan yang kukuh di antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini. Pendidikan memainkan peranan katalis yang penting dalam mewujudkan perpaduan yang serasi, selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan ke-66, Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.
Turut hadir di majlis ini ialah Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Abdul Razak Jaffar; Timbalan Menteri KPT, Dato’ Mohammad Yusof Apdal; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr Azalinda Azman, Ketua-ketua Jabatan KPT, Naib-naib Canselor dan pelajar institusi pendidikan tinggi di sekitar Lembah Klang.