Oleh: Maisarah Zol Hisham

TANJONG MALIM, 22 OKTOBER 2023 – Pesta Konvokesyen (PESKON) merupakan acara tahunan anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris. PESKON-25 kali ini melibatkan seramai 46 penggerai dan pengusaha termasuk10 gerai bunga, 10 gerai kering dan 26 gerai basah.

Majlis Perasmian Pesta Konvokesyen kali ke-25 UPSI bertemakan ‘UPSI Membangun Malaysia Madani’ telah disempurnakan oleh YB Tuan Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Sebagai alumni UPSI, beliau menyatakan kegembiraannya kembali ke alma mater untuk merasmikan PESKON-25 UPSI. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh di universiti dan menyambut baik usaha UPSI dalam melahirkan mahasiswa yang dinamik.

“Pembelajaran di UPSI bukan hanya untuk mencapai markah atau ijazah. Ia adalah perjalanan berterusan yang memberi nilai dan pengalaman yang unik, mencipta rasa berharga yang sukar dicapai di luar sana. “ tambahnya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff turut mengapresiasi usaha pegawai, staf dan sukarelawan rakan PESKON dalam menjayakan acara yang akan berlangsung selama lapan hari. Beliau yakin PESKON kali ini akan membawa lebih banyak kejutan dan menarik minat masyarakat dengan program-program dan aktiviti yang relevan dengan keadaan semasa.

Tambahnya lagi, “Saya yakin usaha murni universiti dalam membangunkan bakat mahasiswa mampu diperlihat lagi melalui penganjuran program seperti malam ini. Saya percaya PESKON pada kali ini bakal membawa lebih banyak kejutan dengan usaha untuk menarik minat masyarakat terhadap aktiviti anjuran universiti yang relevan dengan keadaan semasa. Seperti umum ketahui, mahasiswa dan komuniti merupakan satu entiti jalinan kerjasama yang tidak boleh dipisahkan.”

Pihak penganjur juga menekankan perkara 11.4 Garis Panduan KPT yang menegaskan perlu pengasingan tempat bagi penonton lelaki dan perempuan dengan mengeluarkan poster garis panduan dan menampal pada tiang-tiang khemah di pentas utama selain dari mengasingkan pengunjung menggunakan queue stand.

Istiadat Konvokesyen ke-25, Universiti Pendidikan Sultan Idris tahun 2023 diadakan selama lapan hari bermula dari 22 hingga 29 November 2023 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.