Oleh: Mahkrus Agam Mohd Subhan
Tanjong Malim: Seiring dengan Teras Ketujuh Nadi Keunggulan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu ‘Meningkatkan Keupayaan Pendidikan Digital di Sekolah’, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2023/2024 telah menganjurkan sebuah Bengkel Pendidikan Digital Madani: Kreativiti Scratch 2023 bertempat di Dewan Kolej Harun Aminurrashid pada Sabtu, 25 November.
Bengkel ini disertai oleh 120 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa pendidikan, guru-guru, murid-murid sekolah dan orang awam sekitar Daerah Muallim.
Bengkel ini bukan sahaja sebuah program perkongsian ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi bahkan ia menyediakan platform dalam melahirkan masyarakat yang intelektual dan berkemahiran dalam bidang teknologi terkini dan Scratch khususnya.
Scratch yang merupakan sebuah perisian pengaturcaraan visual popular merupakan sebuah perisian interaktif dan menyeronokkan amat sesuai untuk dikongsi dan diaplikasi oleh kanak-kanak dan remaja masa kini.
Scratch juga dipilih atas kapasitinya yang mudah dan tidak menggunakan bahasa pengaturcaraan yang kompleks seperti Java dan Python serta boleh dipelajari dalam tempoh yang singkat oleh warga pendidik dan murid.
Dr. Suhazlan Suhaimi, Pensyarah Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi UPSI hadir sebagai panel yang berkongsi berkaitan Fundamentals of Scratch Programming, Scratch Essentials Primer, Exploring Scratch Basic Pro, CreativInnoTech Lab, Tech Artistry Nexus dan Artistic Innovators and Developers.
Beliau menyatakan bahawa perisian Scratch ini tidaklah begitu sukar malah ia boleh dipelajari dan dipraktikkan oleh semua walaupun individu tersebut tiada latar belakang komputer yang komprehensif.
“Saya melihat scratch tidaklah begitu susah. Asalkan ada logic thinking (pemikiran logik) berkenaan programming, pasti boleh kuasai Scratch ini kerana ia hanya menggunakan Code Blocks“, katanya.
Pengarah Program, Nurnajihah Nordin, Program ini memberi fokus terhadap pendedahan kemahiran dan pemahaman tentang penggunaan digital berkaitan pengaturcaraan bergrafik atau berorientasikan objek.
“Bengkel ini dianjurkan bagi menggalakkan mahasiswa dan mahasiswi UPSI untuk lebih kreatif dalam pembelajaran dan pengajaran dengan menggunakan perisian-perisian interaktif seperti Scratch ini”, ujarnya.
Turut hadir, barisan felo kolej kediaman Nazrin Yusri dan Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi bersama Abu Hurairah Zain selaku Yang Di-Pertua Persatuan Teknologi Maklumat UPSI.
Dr. Ridhwan Sarifin, Penasihat Program Scratch 2023 menzahirkan rasa bangga kerana program berjaya dilaksanakan dengan cemerlang. Ini akan membuka mata mahasiswa untuk lebih mengenal teknologi dan memanfaatkannya sebagai wadah pendidikan terbaik untuk pendidikan negara.
“Kemahiran-kemahiran inilah yang boleh dimanfaatkan apabila mengajar nanti dan ia juga dicari oleh kebanyakan syarikat masa kini”
Beliau juga menambah bahawa amat penting untuk mahasiswa dan mahasiswi kini menguasai kemahiran-kemahiran seperti kemahiran teknologi ini dalam kehidupan.
Program ini juga berjaya mencapai objektifnya dalam membantu pendidik dan bakal pendidik untuk menyampaikan ilmu selaras dengan perkembangan teknologi sebagai bahan bantu mengajar. Nur Athikah Hamdan, seorang peserta Scratch 2023 menjelaskan beliau mempelajari sesuatu yang baru dalam teknolgi pendidikan era kini.
“Sebelum ini saya tidak berpeluang untuk mempelajarinya, bahkan apa yang saya pelajari ini dapat saya gunakan dalam kerjaya saya kelak. Semoga KHAR terus menganjurkan program-program yang menjadi keperluan dalam professional alaf 21”.
Bengkel Pendidikan Digital Madani: Kreativiti Scratch 2023 mewujudkan orientasi pendidikan digital di peringkat sekolah bermula daripada penglibatan bakal guru dari peringkat awal. Ia membuktikan kesungguhan KHAR dalam memastikan teras ketujuh Nadi Keunggulan KPM dapat direalisasikan dengan jayanya.