TANJUNG MALIM- Karnival Sukan Staf (KIESTA) 2023, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kembali menghangatkan lagi keadaan bagi kakitangan UPSI untuk menonjolkan bakat-bakat yang terpendam.
Justeru, KIESTA 2023 anjuran Pusat Sukan dengan kerjasama dan Fakulti Muzik Seni Persembahan dan Pusat Kebudayaan itu disempurnakan majlis perasmiannya Rabu lalu oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff. Dalam ucapannya, Prof Md Amin berkata KIESTA adalah medium untuk mewujudkan pembudayaan sukan berprestasi dalam kalangan kakitangan UPSI serta menggalakkan gaya hidup yang sihat.
“KIESTA juga dapat menonjolkan bakat-bakat kakitangan yang terpendam yang secara tidak langsung dapat meningkatkan martabat sukan dalam UPSI bagi menghadapi SUKUM yang akan berlangsung tahun hadapan, ujar beliau semasa merasmikan KIESTA di Stadium UPSI,” katanya.
Sementara itu Pengarah Pusat Sukan, Mohammad Faeez Mohammad Alias berkata, KIESTA kali ini melibatkan 19 acara yang dipertandingkan seperti olahraga, bola sepak, petanque, memanah, mini tenis, badminton dan lain-lain.
Ujar beliau, format KIESTA kali ini berbeza pada tahun sebelumnya. Bagi edisi kali ini, penglibatan ahli-ahli persatuan seperti KPA, PRESTASI dan PEKA digunapakai dalam acara berkumpulan dalam sukan yang dipertandingkan.
Penglibatan dari pelbagai persatuan ini, katanya, dapat mengukuhkan ukhuwah antara golongan sokongan, profesional dan akademik serta membantu rumah sukan mereka bagi KIESTA edisi tahun ini. Lapan rumah sukan bertanding di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) pada KIESTA tahun ini yang melibatkan rumah sukan Sri Lanang, Rahman Talib, Ungku Omar, Kapten Yazid, Ahmad Bakhtiar, Aminuddin Baki, Harun Aminurrashid, dan Za’ba.
Perasmian KIESTA juga dimeriahkan lagi dengan persembahan Tari MADANI yang dipersembahkan oleh pelajar dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), nyanyian dari Pusat Kebudayaan serta percikan bunga api sebagai gimik perasmian KIESTA 2023.
Rumah sukan Rahman Talib dinobatkan sebagai pemenang Perbarisan Terbaik pada majlis perasmian KIESTA diikuti kedua, Sri Lanang dan Za’ba tempat ketiga.
Hadir sama , Timbalan Naib (Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin; Ketua Polis Daerah Muallim, Supt. Mohd Hasni Mohd Nasir, serta Pendaftar, Helmi Zaifura Abdul Rahman.