Oleh: Meor Mohamad Fathullah

Kuala Lumpur: Program Tanggungjawab sosial korporat (CSR) UPSI bersama penghuni Anjung Kembara yang telah dilaksanakan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur pada 3 Disember yang lalu merupakan program anjuran Pusat Islam bersama Pusat ICT UPSI dan Al-Mursyidin Club (AMC).

Agenda yang terdapat dalam program ini bukan hanya menyantuni gelandangan sahaja bahkan pelbagai aktiviti menarik turut diadakan ketika berada di sana.

Pada permulaan program ini, sesi dialog bagi menyantuni penghuni telah diadakan yang diketuai oleh Ustaz Mohd Zin Ahmad Nuze sebagai wakil pihak penganjur sebagai langkah awal supaya mendapatkan keselesaan serta kesefahaman antara pihak penganjur dan penghuni di sana.

Pihak pengurusan yang senang dikenali sebagai Pak Long turut mengucapkan ribuan terima kasih kerana kesudian dan keprihatinan pihak penganjur untuk menyantuni serta menyumbangkan barangan keperluan kepada Pusat Gelandangan tersebut.

Selain itu, penghuni-penghuni di sana tidak berat mulut dan sentiasa ramah terhadap semua staf dan pelajar yang terlibat sekaligus menunjukkan satu respon yang positif yang baik diantara kedua-dua belah pihak.

Tambahan pula, banyak perkongsian pengalaman yang diceritakan oleh penghuni-penghuni dan secara tidak langsung pihak penganjur dapat mengetahui masalah sebenar yang terpaksa mereka harungi serta mengambil pengajaran.

Lebih menarik perhatian lagi, penghuni di sana turut melontarkan pelbagai nasihat dan kata-kata semangat khususnya kepada para pelajar dan perkara ini akan memberikan inspirasi kepada pelajar untuk berjihad dalam pembelajaran. Berdasarkan kisah hidup penghuni-penghuni di Pusat Gelandangan tersebut boleh dikatakan mereka tidak pernah putus harapan untuk berubah ke arah yang lebih baik walaupun di suatu ketika dahulu mereka pernah tersilap langkah.

Oleh itu, sebagai insan yang diberikan rezeki yang lebih daripada Ar-Razzaq sentiasalah meringankan tangan dalam membantu masyarakat yang memerlukan. Sebagaimana sabda nabi S.A.W yang bermaksud: “sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain”.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)