Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima pelantikan Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli,57, sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang baharu berkuat kuasa 1 Disember 2023.
Beliau yang menerima surat lantikan daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Noordin Rabu lalu menggantikan Prof. Dr. Marzita Puteh yang tamat tempoh selepas tiga tahun memegang jawatan tersebut sejak 1 Disember 2020.
Anak kelahiran Kampung Gajah, Perak sebelum ini memegang jawatan Pengarah Akademik di Jabatan Hal Ehwal Akademik UPSI dan pernah menjawat jawatan Dekan Fakulti Pembangunan Manusia Prof Abdul Rahim yang memulakan perkhidmatan bersama UPSI sebagai pensyarah di Jabatan Pendidikan Khas, Fakulti Pembangunan Manusia pada 1 Julai 2003.
Pelantikan Prof Abdul Rahim berkuat kuasa 1 Disember untuk tempoh tiga tahun sehingga 1 Januari 2026.
Naib Canselor. Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menyambut baik pelantikan Abdul Rahim dan yakin dengan pengalaman luas yang dimiliki sebagai Pengarah Akademik dan Dekan diharapkan dapat membantu melonjakkan kecemerlangan khasnya dalam aspek pembangunan akademik dan pengantarabangsaan.
“UPSI berharap dengan pelantikan ini sangat membantu dalam melonjakkan kecemerlangan universiti sebagai sebuah universiti pendidikan yang tersohor di negara ini ,” katanya.
Beliau berharap Prof Abdul Rahim akan menyumbang idea-idea baharu sebagai nilai tambah kepada universiti dalam mencapai visi dan misi menjadi universiti pendidikan yang penting di negara ini malah imejnya tersebar luas di peringkat Nusantara dan antarabangsa.
Sementara itu Prof Marzita dalam ucapan akhirnya pada majlis meraikan hari akhir berkhidmat di UPSI, terharu dengan kerjasama baik yang diberikan oleh seluruh kakitanagn sepanjang melaksanakan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor ( Akademik dan Antarabangsa).
Prof Marzita memiliki kepakaran dalam bidang Pendidikan Matematik di bawah Jabatan Matematik , Fakulti Sains dan Matematik UPSI.
“Saya berbangga dapat mencurahkan bakti kepada sebuah universiti pendidikan yang memliki pejalanan sejarah yang panjang apalagi saya memiliki jiwa guru yang tinggi dalam mendidik dan melahirkan ribuan pendidik dalam bidang di UPSI,” katanya.
Terharu meraikan sumbangan Marzita terhadap UPSI, Prof Md Amin menyanyikan lagu “Tinggal Kenangan” dendangan Saleem sambil memetik gitar sebelum kakitangan menyampaikan hadiah dan Marzita membuat ketikan kad yang terakhir.