3 Mac, Petaling Jaya, Selangor – Dalam satu acara bertempat di The Club Bukit Utama, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Dynamic Eagle Footgolf Club (DEFC) telah menandatangani Surat Niat Kerjasama promosi dan pembangunan sukan Footgolf di Malaysia.
Dr. Jaffry Zakaria, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI, berkata, “Kerjasama ini adalah satu langkah penting dalam menjadikan UPSI sebagai pusat keunggulan dalam pengajian dan penyelidikan sukan. Kami yakin bahawa kerjasama ini akan memberikan peluang berharga kepada pelajar dan ahli akademik kami untuk terlibat dalam projek-projek yang berinovatif dan berkualiti tinggi. Kami melihat sukan Footgolf ini adalah sukan yang mempunyai potensi tersendiri untuk berkembang di negara ini.”
DEFC berharap kerjasama ini dapat membantu mereka menyemarakkan lagi kehadiran Footgolf di peringkat kebangsaan. Encik Azfar Faruqi bin Mohammad Idris, Presiden DEFC, menyatakan, “Kami sangat berbangga dapat bekerjasama dengan UPSI, sebuah institusi pengajian tinggi yang dihormati. Kami yakin gabungan tenaga pakar dari UPSI dan semangat kami dalam membangunkan sukan ini akan membawa kepada pencapaian gemilang.”
Antara matlamat utama kerjasama ini termasuklah penyelidikan bersama, pertukaran pengetahuan, serta penganjuran program latihan dan pembangunan dalam bidang Footgolf. UPSI dan DEFC berharap agar perkongsian ini dapat mencipta platform yang mapan untuk perkembangan sukan ini di kalangan masyarakat Malaysia.
Pelbagai program dan acara akan dianjurkan sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, termasuk pertandingan Footgolf antara UPSI dan ahli DEFC, seminar dan bengkel bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keunikan sukan ini.