Oleh: Fajrul Solehien
Tanjong Malim: Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Program Malaysia Juara menganjurkan Majlis Amanat Naib Canselor kepada Atlet Malaysia Juara dan Pelancaran Jersi Malaysia Juara di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI semalam.
Majlis yang dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Abdul Rahim Razalli dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Profesor Dr. Norkhalid Salimin, yang mewakili Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff.
Sesi pelancaran jersi Malaysia Juara disempurnakan oleh kedua-dua Timbalan Naib Canselor tersebut dengan menurunkan tandatangan pada jersi berkenaan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Abdul Rahim berkata bahawa program Malaysia Juara ini adalah salah satu program yang dipantau oleh pihak UPSI.
“Atlet Program Malaysia Juara juga perlu cemerlang dalam bidang akademik selain cemerlang dalam sukan dan diberi peluang luas serta boleh pergi ke mana-mana kejohanan selagi ada peruntukan. Pelajar perlu juara dalam kedua-dua bidang iaitu akademik dan sukan sehingga mengharumkan nama UPSI untuk ke seluruh Malaysia, pergi dengan harapan dan balik dengan kecemerlangan.”
Majlis itu turut menghargai kecemerlangan atlet dengan menyampaikan Anugerah Atlet Cemerlang Malaysia Juara yang dimenangi oleh pemenang Pingat Gangsa dalam acara pelayaran di Sukan Asia ke-19 Hangzhou, China, Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen.
Selain Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen, pencapaian atlet MJ di peringkat antarabangsa bagi tahun 2023 ialah Kapten Pasukan Malaysia di ACC Men’s U19 Premier Cup, Muhammad Rifqi Iman, Josie Mavcellina Anak Gone (wakil negara ke Asia Rugby Seven’s Series), Norfarisha Hanim Muhamad Zaki (Mewakili negara ke Kelayakan Piala Asia B-20 & AFF B-19 Palembang), Nur Ainun Mokhtar (mewakili negara ke 7th Asian Pencak Silat Championship), Mohd Daim Fakhri Mohd Asri (Internasional Pencak Silat Kepulauan Riau).
Beliau berkata Program Malaysia Juara (MJ) bertujuan menyediakan platform kecemerlangan sukan kepada pelajar-pelajar yang juga atlet sukan dan sehingga kini, jumlah keseluruhan Atlet Malaysia Juara adalah seramai 230 orang dengan 19 sukan yang diceburi seperti memanah, olahraga, kayak, hoki, muay thai, sofbol, basikal, silat, badminton, kriket, taekwondo, boling, ragbi, bola baling, bola sepak, sepak takraw, futsal, gimnastik dan petanque.
” Jumlah atlet Malaysia Juara yang tersenarai dalam pasukan negeri di SUKMA 2024 seramai 53 orang, ” katanya.
Menurut Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof Dr Norkhalid Salimin hasrat pengurusan UPSI sangat tinggi pada program Malaysia Juara ini.
“Pelajar yang dipilih adalah yang disenarai pendek dan cemerlang dalam bidang sukan, malah menjadi sasaran Naib Canselor untuk setiap atlet terus cemerlang bagi mengharumkan nama UPSI, ” katanya.
Dekan FSSK Dr. Jaffry Zakariaberbangga dengan pencapaian pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang pernah mewakili negara dalam sukan olahraga seperti Yusridzwan Danial Yusof di World University Games dan Muhammad Sunik Muslimin di SEA Games Cambodia.
“Saya berbangga atas pencapaian atlet Malaysia Juara kerana terpilih mewakili negara ke Sea Game seperti sukan Kayak seramai empat orang dan Atlet Pelayaran ke Sukan Olimpik.
Sempena majlis diadakan pelepasan untuk Pasukan Olahraga UPSI menyertai Kejohanan Varsity Track & Field (VTF Sirkit) pada 7 hingga 10 Mac 2024 di Stadium Ipoh, Perak.
Seramai 33 orang atlet UPSI termasuk 20 orang atlet Malaysia Juara menyertai kejohanan tersebut. Tahun lepas pencapaian pada adalah 5 emas, 7 perak dan 5 gangsa. Sasaran tahun 2024 ini adalah ke Grand Final dan Kejohanan SUKIPT 2024 dengan sasaran 6 Emas.
Norkhalid berkata pengurusan UPSI akan terus memberi sokongan yang padu kepada Atlet Malaysia Juara demi kecemerlangan sukan di peringkat yang lebih tinggi.
“Namun, Atlet Malaysia Juara juga perlu memberikan komitmen latihan yang tidak berbelah bagi dan tahap disiplin yang tinggi untuk terus mengharumkan nama UPSI di peringkat antarabangsa,” katanya.