Oleh: Nurul Aini Mehat

Tanjong Malim: Selaras dengan tahun kebitaraan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) terus mengorak langkah, melakar sejarah di bumi Oxford melalui perlaksanaan Program “Qari in Residence” yang berlangsung sepanjang Ramadan 2024 di Oxford Center for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom.  

Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia dan Oxford Center for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom bagi pelaksanaaan program ini telah berlangsung pada 23 Ogos 2023 di Muallim Ballroom, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris disaksikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia dan Oxford Center for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom

Hubungan kerjasama ini merupakan usaha bersepadu bagi merealisasikan aspirasi negara kita dalam memupuk generasi huffaz yang cemerlang. Ini selari dengan harapan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff “Saya amat berharap kedua-dua institusi ini akan mengekalkan kerjasama akademik ini agar terus maju melalui program pertukaran, usaha sama penyelidikan, penerbitan ilmiah, penganjuran seminar dan bengkel, dan kerjasama selanjutnya yang sejajar dengan matlamat bersama kami,” katanya.

Pengiktirafan ini merupakan pencapaian yang besar buat UPSI dalam meletakkan kegemilangan legasi sejarah UPSI sebagai institusi Pendidikan yang berusia 100 tahun pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai satu-satunya Universiti yang berfokuskan Pendidikan menerusi kebitaraan akademik, kecemerlangan penyelidikan dan inovasi serta keunggulan graduan, kewangan yang mampan, keutuhan modal insan dan ekosistem Pendidikan yang lestari.  

Ikram Hakim Mat Nasir, pelajar semester 6, Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan telah terpilih mewakili UPSI dalam program tersebut. Beliau akan melaksanakan program ini bermula 5 Mac 2024 sehingga 14 April 2024 sebagai Imam Solat Terawih serta aktiviti sampingan lain seperti membantu mengajar mengaji di OXCIS.

Dekan FSK, Prof Madya Ts Dr Nor Kalsum Mohd Isa menegaskan bahawa program ini dapat mendedahkan pelajar kepada kemahiran dan aplikasi ilmu di dunia sebenar di peringkat antarabangsa. Pengalaman seperti ini, secara tidak langsung dapat menambah nilai ilmu dan kemahiran, kemahiran berkomunikasi serta keyakinan yang tinggi kepada pelajar. Di samping itu, ia merupakan sebuah pengiktirafan kepada UPSI di peringkat antarabangsa yang akan mengharumkan nama UPSI serta meningkatkan kebolehpasaran graduan sekaligus mempromosikan FSK dan UPSI di peringkat antarabangsa. 

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)