Oleh: Fajrul Solehien
Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) telah menganjurkan satu perbincangan penting mengenai kerjasama akademik dengan Direktorat Jendral Pendidikan Islam, Kementerian Agama Republik Indonesia (KEMENAG).
Perbincangan ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak khususnya dalam bidang pendidikan Islam.
UPSI diwakili oleh Prof Dr Abdul Rahim Razalli, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI membentangkan kemudahan dan fasiliti sedia ada di UPSI, serta berkongsi prestasi dan pencapaian UPSI kepada delegasi KEMENAG.
Beliau berkata “Pihak UPSI menyambut baik niat dan usaha dari KEMENAG yang seiring dengan usaha UPSI untuk mengukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa.
Pelajar yang akan dihantar oleh KEMENAG adalah usaha yang sangat baik bagi mencapai visi UPSI Global dan diharapkan agar perbincangan ini akan diteruskan lagi dengan lebih banyak usaha sama pada masa akan datang.”
Sementara itu, KEMENAG Indonesia diwakili oleh Sekretaris Jendral KEMENAG, Prof. Dr. Muhammad Ali Ramdani menyatakan kesungguhan pihak KEMENAG untuk memenuhi usaha sama yang telah ditandatangani sebelum ini.
Beliau juga berkongsi visi dan misi bagi memajukan industri pesantren, serta komitmen beliau untuk saling berkongsi kemahiran dan pengalaman dengan UPSI khususnya dalam bidang Pendidikan Islam.
“1001 retorik tanpa usaha tidak berguna, perjumpaan kali ini adalah langkah yang di ambil bagi memastikan usaha ini akan dilaksana dengan jayanya.
Proses membangunkan anak bangsa ini adalah usaha yang panjang serta mengambil masa yang lama, Bapak Presiden Soekarno sekiranya anda ingin bergerak laju silakan bergerak sendirian, sekiranya ingin maju jauh ayuh kita berganding bahu bersama” kata beliau.
Perbincangan ini menandakan langkah positif dalam memperkukuhkan kerjasama antara UPSI dan KEMENAG Indonesia dalam bidang pendidikan Islam. Diharapkan, kerjasama ini akan membawa manfaat yang besar kepada kedua-dua pihak serta menyumbang kepada perkembangan pendidikan di kedua-dua negara.
Turut hadir Bendahari UPSI, En Mohamad Najib Mohamed; Pengarah Pusat Antarabangsa dan Mobiliti (IMC) UPSI, Prof Dr Khoo Yin Yin; Pengarah Akademik dan Antarabangsa dan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Madya Dr. Ridzwan Che Rus; dan Dekan Institut Pengajian Siswazah UPSI Profesor Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun.