Oleh Noorfarazila Muhammad Ayub

Tanjung Malim, 27 April 2024 – Open Za’ba Classical 2024, sebuah acara catur yang dinantikan kini berlangsung di Dewan Kolej Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Pertandingan catur ini merupakan sebuah pertandingan peringkat antarabangsa dan terbuka kepada semua kategori.

Program ini berlangsung pada 27 dan 28 April 2024 bertempat di Dewan Kolej Za’ba, UPSI. Program ini dikelolakan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba dengan kerjasama Pusat Sukan UPSI, Kelab Catur UPSI, Flatz Boyz, Kelab Chess Perak, Fide Chess, Persekutuan Catur Malaysia dan Chessman. Suasana di Dewan Kolej Za’ba ini cukup mendebarkan dengan kehadiran lebih dari 60 peserta yang bertanding dalam acara ini. Penonton dapat menyaksikan bakat-bakat hebat ini beraksi dalam mempamerkan kebolehan mereka meskipun pihak lawan dari pelbagai kategori yang berbeza.

Program ini diadakan bagi mengasah kemahiran merancang strategi, mendorong inovasi dalam permainan, memupuk semangat kompetitif yang sihat serta mencipta medan pertandingan yang mempromosikan kepelbagaian dan inklusiviti.

Ketua Arbiter, Ahmad Izzudin Ahmad Rostam berkata, pertandingan catur peringkat antarabangsa ini bukan hanya sekadar acara kompetisi, tetapi juga menjadi platform penting bagi para pemain catur berbakat untuk menunjukkan kebolehan mereka. Melalui pertandingan ini, para peserta dapat belajar, berinteraksi, dan memperluas jaringan dalam dunia catur.

Menurut Ahmad Izzudin Ahmad Rostam lagi, kejohanan ini bukan semata-mata tentang memenangi permainan, tetapi juga tentang memperkukuhkan kemahiran berfikir strategi dan kesabaran yang tinggi. Semoga pertandingan ini menjadi medan yang memberi manfaat bukan hanya dalam meraih kejayaan, tetapi juga dalam memperkukuhkan aspek-aspek keperibadian yang penting dalam pembangunan diri.

Open Za’ba Classical 2024 ini juga memberikan peluang kepada para penonton untuk menyaksikan pertandingan catur yang menarik. Dengan suasana yang penuh ketegangan, acara ini pasti akan memberi pengalaman yang mengasyikkan bagi semua yang hadir.