Oleh: Amal Mohd Hishomudin

Sepang- Sukan pantai mempunyai peminat yang tinggi dan pastinya ia juga akan menjadi daya tarikan pelancong untuk menikmati pantai di Malaysia. Baru-baru ini, Exco Sukan dan Rekreasi Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid telah menganjurkan Ultimate Frisbee Open yang berlangsung di Pantai Bagan Lalang.

Program berlangsung pada 21 April dengan melibatkan seramai 216 peserta dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi. Ultimate Frisbee Open bertujuan mewujudkan perlawanan yang sihat dalam sukan frisbee di samping memperluas jaringan sosial dan kerjasama dalam kalangan peserta.

Program Ultimate Frisbee Open ini juga melibatkan kolaborasi dari beberapa pasukan termasuk Majlis Perbandaran Sepang, Red Scorpion Upsi, Persatuan Piring Terbang Kuala Lumpur, Malaysia Flying Disc Association, Pusat Kesihatan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Kadokawa Gempak Starz. Justeru tema Lawak Kampus terbitan Kadokawa Gempak Starz digunakan sebagai tema permainan frisbee.

Pengetua KHAR, Dr Haji Che Anuar Che Abdullah menyatakan bahawa penglibatan mahasiswa IPT menggambarkan bahawa sukan pantai mempunyai tarikan yang besar dan mampu menjadi peneraju keberhasilan sukan negara.

Beliau menambah lagi dengan harapan program ini dapat memberi manfaat kepada para peserta. Justeru melalui program ini para peserta dapat mengenali KHAR dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) khususnya.

Turut hadir Penasihat Program dan Biro Sukan, Hazman Ya’akob yang menyampaikan hadiah kepada para pemenang dalam Ultimate Frisbee Open.

Kejohanan Ultimate Frisbee Open di Pantai Bagan Lalang, Sepang tidak hanya menjadi medan pertandingan, tetapi juga tempat di mana ikatan persaudaraan antara pelajar dari pelbagai universiti diperkukuhkan. Diharapkan, acara ini akan terus diadakan setiap tahun untuk meneruskan warisan sukan yang bermakna dalam kalangan mahasiswa.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)