Oleh: Nurul Ainie Abdullah

Tanjong Malim, 14 Mei 2024 – Pusat Pembangunan Akademik (PPA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan Bengkel Bimbingan Tenaga Pengajar Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) Fasa 1 bertempat di Bilik Latihan Utama, Aras Bawah Blok C Bangunan IPS, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI pada 13 dan 14 Mei.

Ceramah KIAR ini telah disampaikan oleh Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Ibu Pejabat Putrajaya iaitu Mohd Nur Lokman Samingan, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Mohamad Tarmize Abdul Manaf dan juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Amnah Saayah Ismail.

Para peserta ketika sesi bengkel

Bengkel ini melibatkan seramai lebih kurang 40 orang Pensyarah dari pelbagai Fakulti yang akan mengajar subjek KIAR pada tahun hadapan. Tujuan bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan mengenai Kursus UPU 2342: Integriti dan Antirasuah kepada Tenaga Pengajar yang akan mengajar kursus ini disamping menyahut saranan YAB Perdana Menteri supaya Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) dapat dilaksanakan di semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai kursus elektif bermula pada September 2021 dan sebagai kursus wajib dalam Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) bermula tahun 2023.

Menurut Mohamad Tarmize, “sebanyak 10 Modul akan dikongsikan bersama pensyarah mencakupi Pengenalan Kursus Integriti dan Antirasuah, Integriti Teras Kesejahteraan, Rasuah Dihina, Maruah Dibina, Agensi Pencegahan Rasuah dan Pemerkasaan Integriti, Rasuah Berdasarkan Akta SPRM 2009, Kesalahan Liabiliti Korporat, Jenayah Kolar Putih, Punca, Simptom dan Kesan Jenayah Rasuah, Perangi Rasuah! Lapor, Cegah dan Inisiatif Kerajaan, Institusi Sosial dalam Pembudayaan Integriti dan Anti-Rasuah dan Sesi perkongsian Kaedah Mengajar”, katanya di awal sesi perkongsian.

Bengkel KIAR Fasa 2 akan diadakan pada awal tahun 2025 kepada para pensyarah yang tidak dapat mengikuti bengkel Fasa 1. Bengkel ini sangat bermanfaat kerana dapat memberikan pendedahan yang lebih mendalam mengenai kesan negatif rasuah terhadap masa depan negara.