Oleh: Afifah Adriana Aznan

18 Mac, Sg. Dara, Behrang – Seramai 27 orang pegawai kadet senior Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya mengikuti Latihan Kem Tahunan yang telah berlangsung selama seminggu, bermula daripada 11 hingga 17 Mac lalu di UPSI Edu-Forest, Sg. Dara, Behrang.

Pegawai-pegawai kadet ini didedahkan dengan Ilmu Medan Perang mengikut kepada silibus ketenteraan seperti membaca peta, pandu arah, ronda tempur, radio semboyan dan ujian kawad kaki bagi menguji pengetahuan dan kemahiran pegawai kadet dalam ilmu ketenteraan serta perintah dan kawalan.

Menurut Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah, UPSI Edu-Forest merupakan lokasi yang strategik bagi pegawai kadet PALAPES ini untuk melaksanakan latihan kem memandangkan lokasinya tidak jauh dari kampus dan struktur hutan simpan yang belum diteroka serta mempunyai pelbagai khazanah flora dan fauna.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin berharap semua pegawai kadet PALAPES ini memperoleh pengalaman yang berguna ketika di UPSI Edu-Forest dan dimanfaatkan dengan sebaiknya agar dapat melahirkan pemimpin pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kalangan graduan universiti sejajar dengan hasrat kerajaan membentuk warganegara cemerlang dan mantap dari segi fizikal serta mental untuk menghadapi pelbagai anasir yang mendatang.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff turut merasa bangga terhadap kadet PALAPES UPSI ini kerana puasa bukanlah penghalang bagi mereka untuk terus menjalankan kem latihan tahunan tersebut.

“Semangat seperti ini yang seharusnya diterapkan kepada anak-anak UPSI supaya menjadi seorang yang tidak mudah mengalah dan menyahut cabaran dalam apa jua keadaan” ujarnya lagi.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)