Oleh: Nur Aina Adila binti Jamal Abd Nasir, ⁠Intan Sabrina Natasha bt Razlan


21 Mac 2024, Tanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menganjurkan Iftar Ramadan bersama pelajar antarabangsa di institusi bersejarah ini yang bertempat di Scholar’s Suite, UPSI.

Program dihadiri oleh Naib Canselor UPSI, Prof Dato’ Dr, Md Amin Md Taff bersama barisan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU), dekan-dekan Fakulti dan pengurusan universiti.

Acara ini menerima sambutan yang baik dan memberi peluang kepada pengurusan tertinggi universiti untuk bersama-sama dengan pelajar antarabangsa dari negara China, Indonesia, Hungary, Uzbekistan, Syria, Nigeria dan Bangladesh.

Majlis iftar ini dianjurkan oleh Pusat Antarabangsa dan Mobiliti (IMC) bersama-sama dengan Global Buddies UPSI yang bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan dan memupuk kebersamaan di antara pentadbiran universiti bersama pelajar antarabangsa.

Majlis ini juga menyediakan platform untuk ramah mesra di antara ahli jawatankuasa pengurusan universiti dengan pelajar antarabangsa.

Perbincangan mengenai kepelbagaian budaya dan pengalaman pengajian di UPSI turut memperkaya interaksi semua hadirin.

Kemeriahan para hadirin turut disajikan dengan pelbagai jenis juadah berbuka puasa bagi memperkenalkan masakan tradisional Malaysia kepada pelajar antarabangsa.

“Majlis berbuka puasa bersama ini benar-benar memberi saya pengalaman baharu yang bermakna buat saya”, kata salah seorang pelajar dari China”.

Pengalaman ini membuatkan saya rasa diterima oleh komuniti UPSI dan bersyukur dengan kepelbagaian yang diterapkan di sini”, ujarnya. 

Majlis berbuka puasa diakhiri dengan pemberian kurma yang disampaikan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff kepada semua pelajar antarabangsa yang hadir.

Penglibatan pelajar antarabangsa bersama pengurusan tertinggi di dalam majlis ini menjadi bukti dan komitmen UPSI dalam memperkukuhkan ikatan persaudaraan pelajar antarabangsa dalam menuju kelestarian pengantarabangsaan di institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)