Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyaksikan satu sambutan yang penuh semangat dengan kedatangan 227 pelajar baru bagi pengajian siswazah bagi Semester 2 sesi 2023/2024.

UPSI menerima 153 pelajar mendaftar bagi pengajian peringkat Sarjana manakala 74 pelajar lain menyertai pengajian peringkat Kedoktoran.

Kehadiran mereka turut disambut mesra oleh pihak Institut Pengajian Siswazah UPSI yang mengucapkan selamat datang kepada para pelajar baru.

Dekan Institut Pengajian Siswazah UPSI, Profesor Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun menyatakan, “Kami amat gembira dengan kehadiran para pelajar baru pada hari ini.

Universiti kami mengambil tanggungjawab besar dalam memastikan pengalaman pembelajaran mereka di sini bermakna dan memberi impak yang positif dalam kerjaya dan kehidupan mereka kelak.”

Acara hari ini turut diserikan dengan sesi penerangan tentang kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh UPSI, termasuk perpustakaan yang lengkap, fasiliti sukan, dan sokongan akademik yang berterusan.

“Saya berharap agar para pelajar dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada di UPSI untuk berkembang dan mencapai kecemerlangan dalam pengajian mereka. Selamat belajar dan berusaha keras untuk kejayaan,” tambah Profesor Dr. Raja Nor Safinas.

Tahniah dan selamat datang kepada para pelajar baru UPSI untuk Semester 2 sesi 2023/2024, semoga perjalanan pengajian anda di sini diberkati dengan kejayaan yang cemerlang.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)