Oleh: Fajrul Solehien
Tanjong Malim: Memperingati peristiwa penting dalam agama Islam Nuzul Quran, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program kuliah bertajuk “Naskah Cinta Paling Agung” bawah kelolaan Pusat Islam UPSI.
Kuliah yang disampaikan oleh Penceramah Bebas, Ustaz Mohammad Rozie Mohd Rejab telah menjadi tumpuan utama pada program tersebut.
Mohammad Rozie menekankan pentingnya amalan akhlak al-Quran sebelum mengajar atau menegur seseorang sebagai adab seorang Muslim.
Beliau menasihati agar kita memperbanyakkan membaca Al-Quran berulang kali agar lebih memahami setiap perkara sebelum kita mengajarkannya kepada orang lain seperti mana malaikat Jibril AS mengajarkan Nabi Muhammad SAW berkenaan Al-Quran.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa menegur seseorang haruslah dilakukan tanpa menjatuhkan ego individu tersebut, sambil menjaga agar ego diri sendiri tidak terlalu meninggi.
“Kita harus memastikan bahawa kita sendiri telah mempraktikkan nilai-nilai Al-Quran dalam kehidupan seharian sebelum kita cuba menyampaikannya kepada orang lain.
Ini adalah satu bentuk penghormatan kepada kitab suci kita serta menjadi contoh yang baik kepada masyarakat sekeliling” ujar beliau.
Lebih menarik lagi, Mohammad Rozie berkongsi pengalaman peribadi beliau menghidap penyakit yang berpanjangan sehingga 441 hari.
Seperti seorang doktor pakar yang merujuk pesakit kepada pakar lain bagi mendapatkan rawatan yang tepat, beliau menegaskan bahawa kita juga perlu mengakui limitasi diri dan pengetahuan kita sendiri.
“Jika tidak tahu, jangan segan untuk merujuk kepada yang lebih berilmu, tidak akan jatuh martabat seseorang yang mengaku akan kekurangan dirinya sendiri” tambah beliau.
Beliau mengingatkan semua hadirin agar mempraktikkan nilai-nilai Al-Quran dalam kehidupan seharian, bukan sekadar sebagai bacaan ritual tetapi sebagai panduan hidup yang sebenar.
Program kuliah ini mendapat sambutan hangat dari pelajar dan kakitangan UPSI, yang menganggapnya sebagai satu pengalaman pembelajaran yang bernilai tinggi.
Turut hadir Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff; Timbalan Naib Canselor UPSI (Hal Ehwal Pelajar) Prof Dr Norkhalid Salimin; Pendaftar UPSI EN. Helmi Zaifura Abdul Rahman dan Pengarah Pusat Islam UPSI En. Tarmizi Abdul Rahman.