Oleh: Muhammad Afizi Zazani Muddin

Muallim– Orang Besar Jajahan Muallim dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris melalui Majlis Perwakilan Pelajar telah menganjurkan sebuah program yang bernama Tautan Kasih Ramadan iaitu agihan bubur lambuk sebanyak 3000 pek di sekitar kawasan Slim River, Behrang dan Tanjong Malim. Program ini bertujuan adalah salah satunya untuk meningkatkan lagi ukhwah di kalangan masyarakat setempat dengan OBJ dan MPP UPSI khususnya serta mengimarahkan lagi bulan Ramadan dengan amalan bersedekah makanan berbuka puasa kepada ramai orang.

Bukan itu sahaja, program ini juga melibatkan kerjasama dengan pelbagai agensi luar seperti ADUN Behrang, Pejabat Parlimen Tanjong Malim, IPD Muallim, Majlis Daerah Tanjong Malim, Jabatan Kerja Raya Muallim, Pejabat Daerah & Tanah Muallim dan Pejabat Pentadbiran Agama Muallim, D’Tanjong, Eastnet, dan Kek Tapak Kuda Azra cawangan Behrang dalam bergotong-royong merewang bubur lambuk pada waktu pagi sehinggalah ke petang sebelum diedarkan di tempat-tempat yang ditentukan. Kehadiran tetamu kehormat iaitu YB Salina Samsudin (ADUN Behrang) dan Tuan Khairul Najib Hashim (Pegawai Khas YB Chang Lih Kang) telah memeriahkan suasan program apabila mereka turun ke lapangan di Bazar Behrang dan Masjid Al-Hidayah Behrang bagi membantu mengagihkan sejumlah bubur lambuk kepada pengunjung yang hadir di kawasan itu.

Sesi memasak bubur lambuk bersama IPD Muallim
Agihan bubur lambuk oleh Orang Besar Jajahan Muallim & ADUN Behrang di Bazar Behrang

Bukan itu sahaja, terdapat juga beberapa lokasi yang telah ditetapkan bagi agihan bubur lambuk ini antaranya Masjid Sultan Idris Shah II, Masjid Ehsaniah Kampung Kelan, Masjid Behrang Stesen, Surau Kampung Berop, Masjid Jamek Tanjong Malim, Masjid Taman Bernam, Masjid At-Taqwa Proton City, Masjid Politeknik Sultan Azlan Shah, Masjid Al-Mursyidin UPSI, Bazar Slim River, Hospital Slim River, Balai Bomba Tanjong Malim, Balai Bomba Slim River, Balai Polis Tanjong Malim, Balai Polis Slim River, Pintu Timur UPSI dan Petronas Bandar Behrang. Kesemua lokasi ini meliputi kawasan Tanjong Malim, Behrang dan juga Slim River.

Secara keseluruhannya, pihak UPSI melalui Majlis Perwakilan Pelajar ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan penajaan sebanyak RM6000 kepada penganjur bagi menjayakan program ini. Semoga dengan sebungkus bubur lambuk yang diagihkan sedikit sebanyak dapat mengukir banyak senyuman di wajah penduduk Muallim yang menerimanya. Diharapkan kerjasama yang wujud pada kali ini dapat diteruskan sampai bila-bila agar lebih banyak program berimpak yang mampu dilaksanakan supaya warga Muallim terus berada dalam kesejahteraan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)