Oleh: Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi
Sarawak: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sentiasa komited membuka ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk berkarya dengan mengetengahkan elemen sastera melayu ke dalam ruang kesenian dan pendidikan.
Affiza Musa, mahasiswa ISMP Kesusateraan Melayu menyatakan bahawa UPSI sentiasa memberi dorongan buatnya untuk terus berkarya dengan membawa keindahan Bahasa Melayu sebagai warna dalam sajak-sajak yang didendangkan.
“Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI banyak mengajar saya betapa pentingnya kita untuk meneruskan budaya dan bahasa melayu yang menjadi kebanggaan kita.”
“Apabila bercerita tentang bahasa melayu klasik, pastinya banyak elemen yang terkadang mempunyai banyak makna yang tersembunyi dan memerlukan seseorang untuk meneliti dan memahami dengan sangat dalam tentang apa yang disampaikan. Disitulah nyawa Bahasa Melayu kita. Dalam kata, tersimpul adab.”
Katanya demikian ketika sesi wawancara dalam program Jungo Krem yang bersiaran langsung di Facebook live KupiKupi FM Sarawak pada Isnin, 15 April lalu.
KupiKupi FM Sarawak adalah rangkaian siaran radio yang mempamerkan budaya dan bakat anak muda Sarawak dengan slogan ‘Samak Dirik Pok’. Affiza Musa dijemput untuk berkongsi tentang kepakarannya dalam bidang kesusasteraan melayu.
Sebelum ini, beliau dinobatkan sebagai Johan Deklamasi Sajak Negeri Sarawak dan mewakili negeri kenyalang itu ke Karnival Bahasa Melayu Kebangsaan 2023. Rakan Exco Kesenian dan Kebudayaan KHAR satu ini acapkali mewarnai persembahan kesenian di UPSI dan salah satunya adalah Astakawangsa yang identik dengan tema Puteri Gunung Ledang. Beliau juga pernah menjayakan persembahan dalam Konsert Diraja yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
“Saya bersyukur dapat memperdalami ilmu kesusasteraan melayu ini dan pastinya UPSI adalah pilihan tepat untuk kerana disinilah pusat idea pemikiran para tokoh dan ilmuwan melayu seperti Zaaba. Semoga ini juga menjadi wadah untuk saya meneruskan perjuangan dalam melestarikan kesusasteraan melayu dan budaya serta adab kepada generasi mendatang,” ujarnya.
UPSI sentiasa menyokong mahasiswa dalam menonjolkan bakat-bakat mereka dalam apa jua bidang yang diceburi. Komitmen dan sokongan padu pihak universiti dalam menyediakan prasarana dan ruang kepada mahasiswa untuk berkarya membuktikan bahawa UPSI sebagai peneraju kebitaraan pendidikan akan terus komited melahirkan banyak bakat dan potensi yang akan mengharumkan nama universiti dan negara di seantero dunia.