Oleh : Nurul Artikah Tuah
6 April 2024, Batu Pahat – Majlis Anak Johor (M@JOR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program Jauhar Ramadan bersama mahasiswa dan penduduk komuniti setempat di Masjid Taman Banang Jaya, Batu Pahat.
Program tersebut dihadiri oleh Adun Senggarang yang merupakan Adun Angkat M@JOR, Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Yusla Ismail, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr.Izwan Shahril dan Pegawai dari Yayasan Pelajaran Johor (YPJ). Program tersebut telah menerima sambutan yang amat baik daripada pelajar dan penduduk di Taman Banang Jaya sejurus dapat membentuk sikap yang mulia dalam mengamalkan amalan sunnah ketika di bulan Ramadan.
Menurut Dr Jamilah Omar, Penasihat Program Jauhar Ramadan “Program ini mendapat sambutan yang sangat baik hasil kolaborasi M@JOR bersama masyarakat di sekitar kawasan Taman Banang Jaya bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan dan menghidupkan suasana ukhuwah antara UPSI dan pihak agensi yang secara tak langsung membudayakan bacaan Al-Quran sebagai panduan hidup umat Islam”. Program ini diisi dengan Majlis Khatam Al-Quran yang menghimpunkan mahasiswa Johor UPSI.
“Program ini juga dilakukan bagi menambah keberkatan di bulan Ramadan dan diharapkan dapat membantu memudahkan urusan pembelajaran di universiti sehingga dapat mencapai kejayaan yang cemerlang sekaligus membolehkan pelajar berkhidmat bakti kepada anak watan dan memberikan kesan yang positif ,“ ujar daripada Pengarah program, Ummu Madihah Zulfah Abu Mansor.
Program Jauhar Ramadan diserikan dengan Majlis Iftar Perdana, aktiviti solat tarawih dan pengagihan makanan untuk moreh kepada masyarakat Taman Banang Jaya.
Program Jauhar Ramadan diakhiri dengan pemberian sijil dan cenderahati yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Izwan Shahril kepada Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Yusla Ismail dan para jawatankuasa yang terlibat.
Program berbentuk komuniti ini sememangnya menjadi fokus utama M@JOR dalam mewujudkan hubungan dan jalinan yang baik bersama masyarakat luar sekaligus mencerminkan kredibiliti Mahasiswa UPSI yang mampu menyumbang bakti dan tenaga kepada masyarakat dan program sebegini bakal diteruskan lagi pada masa akan datang.