Oleh: Fajrul Solehien
Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Pengurusan dan Ekonomi menjalankan program Syarahan Suluh Budiman mengetengahkan kajian inovasi dalam pembelajaran literasi kewangan secara digital oleh Profesor Dr. Khoo Yin Yin, seorang ilmuan dalam bidang Pendidikan Ekonomi dan Perdagangan.
Program yang diadakan di Dewan Jauhar, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) UPSI, bermula dengan ucapan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Profesor Dr. Abdul Rahim Razalli.
Beliau menyatakan signifikan program dan kajian yang dilakukan oleh Prof. Dr. Khoo Yin Yin terhadap perkembangan pendidikan menerusi pengajaran dan pembelajaran digital.
Fokus penyelidikan Prof. Khoo Yin Yin adalah kajian kuantitatif berbentuk eksperimen kuasi, yang telah memberikan sumbangan yang besar dalam perkembangan ilmu di UPSI dan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.”
Dekan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI, Profesor Madya Dr. Mohd Asri Mohd Nor, berkongsi berkenaan biodata, dan katakter Prof. Dr. Khoo Yin Yin sebagai seorang pengkaji dan pemimpin.
“Prof. Dr. Khoo Yin Yin adalah ilmuan yang telah menjalankan penyelidikan yang berimpak, terutamanya dalam bidang pembelajaran mobil dan pembelajaran permainan yang mempunyai elemen augmented reality.
Penyelidikan yang dilakukan oleh Prof. Dr. Khoo Yin Yin telah membawa impak yang signifikan dalam bidang Pendidikan Ekonomi ,beliau telah menerbitkan lebih daripada 142 artikel jurnal, lima buah buku, dan lebih daripada 10 prosiding persidangan” tambah beliau.
Dalam syarahan beliau, Prof. Dr. Khoo Yin Yin menekankan kesan positif dan peluang baharu yang dicipta oleh penggunaan alat digital dalam pembelajaran, terutamanya selepas pandemik COVID-19.
“Kita sering melihat pandemik COVID-19 dengan lensa negatif sehingga kita tidak memahami hikmah dan pengajaran penting disebalik musibah ini.
antara pengajaran yang boleh difahami adalah kesan wabak pandemik telah membuktikan kepentingan literasi kewangan, terutama bagi generasi muda” tegas beliau.
Menurutnya, kekurangan literasi kewangan di kalangan generasi muda merupakan satu cabaran yang perlu diatasi dengan pembelajaran yang inovatif dan berbentuk digital.
“Generasi muda memerlukan pendekatan yang lebih inovatif bagi menarik dan mendidik mereka, penggunaan alat pembelajaran digital, seperti pembelajaran mobil dan permainan berbentuk augmented reality boleh menjadi cara yang efektif untuk meningkatkan literasi kewangan di kalangan pelajar.”
Beliau turut membentangkan dapatan kajian beliau berkenaan Finlite, sebuah aplikasi telefon pintar yang terdiri daripada nota ekonomi yang menggabungjalinkan konsep, kuiz dan video tentang literasi kewangan.
Aplikasi ini juga mempunyai pelbagai utiliti tambahan bagi melancarkan proses pembelajaran seperti, video pendek mengikut tajuk perbincangan dan kalkulator kewangan yang khas direka mengikut patern belanjawan pelajar sekolah menengah.
Syarahan Prof. Dr. Khoo Yin Yin di UPSI telah memberikan wawasan yang penting dalam usaha memperkasakan pembelajaran literasi kewangan secara digital di peringkat pengajian tinggi.
Ini adalah langkah positif dalam menyediakan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk menguruskan kewangan mereka dengan bijak dalam era digital yang semakin berkembang.
Turut Hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Norkhalid Salimin;Pendaftar UPSI, En Helmi Zaifura Abdul Rahman dan Mantan Naib Canselor UPSI, Prof Emiritus Datuk Dr Aminah Ayob.