Kuala Lumpur: Kelab Pencinta Haiwan Universiti Pendidikan Sultan Idris (KPH UPSI) menghantar pasukan sukarelawan bagi menjayakan program Anymalossy – Animal Malaysia Cat Adoption Fiesta 2024 di Amcorp Mall Petaling Jaya, Selangor.

Program Anymalossy – Animal Malaysia Cat Adoption Fiesta 2024 adalah inistiatif Persatuan Haiwan Malaysia (PHM) bertujuan untuk memberikan peluang kepada kucing terbiar untuk mendapatkan keluarga baru.

Bagi menjayakan usaha murni ini, KPH UPSI mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Program Sukarelawan ke Galeri Haiwan Malaysia di Taman Milion Kuala Lumpur, sebuah agensi di bawah PHM sebagai program sokongan serta memperkukuh hubungan dua hala.

Gambar sukarelawan sedang membersihkan tempat perlindungan ‘shelter’ kucing pada awal pagi sebelum dibawa ke Amcorp Mall, Petaling Jaya

Usaha delegasi KPH UPSI dipimpin oleh Penasihat KPH UPSI, Dr. Hamidah Idris disambut baik oleh Presiden PHM, En Arie Dwi Andika di samping membincangkan hala tuju kerjasama kedua belah pihak terlibat dalam usaha memerangi kezaliman terhadap haiwan dan memperkasa pengetahuan masyarakat terutamanya mahasiswa berkenaan hak kebajikan serta undang-undang berkaitan haiwan, sama ada haiwan domestik mahupun haiwan liar. 

Dr. Hamidah Idris menyatakan “Kerjasama ini penting untuk memupuk kesedaran dan tanggungjawab terhadap kebajikan haiwan dalam kalangan pelajar universiti dengan melibatkan sukarelawan dari pelbagai bidang pengajian, saya percaya ia akan membantu meningkatkan kesedaran dan penghayatan terhadap isu-isu kebajikan haiwan dalam kalangan generasi muda.”

Sesi penyerahan sijil penghargaan kepada Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (kiri) bersama Penasihat Kelab Pencinta Haiwan UPSI (Kanan) dan Yang Di-Pertua Kelab Pencinta Haiwan UPSI.

En. Arie Dwi Andika, dalam semangat yang sama menyatakan “Kami sangat gembira dengan inisiatif KPH UPSI melaksanakan program sokongan seperti ini sekaligus menunjukkan komitmen mereka dalam memperjuangkan hak dan kesejahteraan haiwan.

Kami berharap kerjasama ini akan membawa manfaat kepada kedua belah pihak serta membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga dan melindungi haiwan.” 

Tambah beliau lagi “Setiap haiwan yang berjaya mendapat rumah baharu akan membawa harapan baru bagi haiwan ini dan kami berdoa agar mereka akan mendapat keluarga yang penyayang.” 

Gambar sepanjang program Animal Malaysia Cat Adoption Fiesta 2024 berlangsung Amcorp Mall Petaling Jaya Selangor pada 26 hingga 28 Januari 2024 selama tiga hari.

Peserta program, Nadia Natasha Abdul Mutalip menyatakan “Saya berasa sangat gembira dapat menyumbang kearah usaha murni ini dan memberi peluang kepada kucing terbiar ini untuk mendapat keluarga yang baharu.

Ini juga merupakan pengalaman yang sangat bermakna bagi saya sebagai pelajar untuk terlibat dalam aktiviti sukarelawan seperti ini.”

Program Sukarelawan ke Galeri Animal Malaysia ini diharapkan menjadi titik permulaan kerjasama yang berterusan antara Kelab Pencinta Haiwan UPSI dan Persatuan Haiwan Malaysia dalam menjalin kerjasama yang lebih erat dengan komuniti universiti untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga haiwan.

Sesi fotografi bersama Presiden Persatuan Haiwan Malaysia diikuti dengan Penasihat Kelab Pencinta Haiwan UPSI dan tujuh orang peserta, Majlis Tertinggi Kelab Pencinta Haiwan UPSI



Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)