Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), melalui Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) dan Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus (MMKLK) melaksanakan Majlis Perasmian UKLK Cibo Market bersempena dengan Program Riang Ria Raya UKLK Cibo Market yang berlangsung di Bangunan Bitarasiswa, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS).

Program yang dianjurkan ini merupakan satu inisiatif oleh UKLK sebagai mempromosi semula UKLK Cibo Market selepas ianya direhatkan semasa cuti semester dan cuti hari raya aidilfitri.

Program ini bertujuan untuk memasyarakatkan universiti dengan mempereratkan hubungan dengan masyarakat setempat dan memberi peluang kepada mereka melalui aktiviti perniagaan dalam kemeriahan sambutan perayaan.

Prof Dr. Norkhalid bersama jemputan bergambar bersama selepas jamuan makan malam

Program yang berlansung bermula dari jam 8.00 pagi ini mendapat sambutan baik daripada seluruh warga UPSI dan masyarakat setempat.

Aktiviti Gerai jualan UKLK Cibo Market akan diteruskan setiap hari Rabu bermula jam 2.00 petang sehingga 10.00 malam.

Beberapa aktiviti lain juga turut berlangsung sepanjang hari iaitu pertandingan karaoke raya, aktiviti sukan rakyat, program sembang santai, program derma darah dan pameran Agensi Anti Dadah Kebangsaan Malaysia serta gerai jualan UKLK Cibo Market.

Persembahan daripada Bob Buskers antara aktiviti menarik yang disediakan

Kemuncak program ini adalah majlis perasmian UKLK Cibo Market yang telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Norkhalid Salimin.

Pengetua UKLK, Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob menyatakan penghargaan beliau kepada warga UKLK terutama MMKLK yang berusaha keras menjayakan program ini dalam ucapan aluan beliau.

Tambah beliau “Cibo ini konsep atau perkataan berasal dari Itali yang bermaksud makanan yang berzat dan lazat, beliau faham akan penghargaan pelajar kita terhadap makanan yang baik dan bersih oleh yang demikian lahirnya idea mewujudkan Cibo Market ini untuk kemaslahatan warga UPSI.”

Prof Dr. Norkhalid menyatakan ucapan perasmiannya “UKLK Cibo Market ini adalah antara salah satu penyumbang kepada kejayaan yang telah diraih oleh UPSI baru-baru ini iaitu Anugerah Institusi Keusahawanan Terbaik sempena Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi pada 8 Mac 2024 lalu.”

Beliau turut menngucapkan tahniah dan menyatakan kebanggaan beliau atas penjaaan UKLK Cibo Market yang dianggarkan sekitar RM10,560.00 sehingga kini.

Ucapan perasmian oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof Dr Norkhalid Salimin

Melalui pelaksanaan UKLK Cibo Market ini diharap dapat melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang di mana mahasiswa UPSI dapat mengambil peluang keusahawanan bersama-sama dengan orang awam di sekitar Tanjong Malim.

Turut hadir bersama Bendahari UPSI, En. Mohamad Najib Mohamed; Timbalan Pendaftar kana Bahagia Hal Ehwal Pelajar, Puan Maskana Ahmad, Pengetua– pengetua kolej kediaman, Ketua Pusat Tanggungjawab di Bitarasiswa serta pentadbir dan felo – felo UKLK.

“UKLK – Luar Kampus Luar Biasa”