Oleh: Fajrul Solehien

Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar(BHEP) telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra Pelajar Sulung 1.0 bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Professor Dr. Norkhalid Salimin.

Majlis yang diadakan di Bangunan Pusat Pelajar UPSI dihadiri oleh 10 ahli Pelajar Sulung 1.0 yang turut memeriahkan sesi beramah mesra bersama Professor Dr. Norkhalid Salimin.

“Saya sangat berbesar hati dapat beramah mesra dengan pelajar sulung pada majlis hari ini. Semangat dan dedikasi yang anda tunjukkan adalah satu inspirasi buat kami di UPSI.

Teruslah berusaha dan teruskan perjuangan untuk kecemerlangan, focus menjadi yang terbaik dan istiqamah meneroka peluang yang ada bagi memajukan diri sendiri” pesan Professor Dr. Norkhalid Salimin dalam ucapan beliau.

Majlis bermula dengan sesi taaruf berkumpulan yang berkonsepkan “Homeroom” menjadi ruang dan peluang kepada pelajar sulung untuk berkongsi kata-kata semangat, motivasi, serta tips kecemerlangan bersama-sama.

Usaha ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada pelajar sulung dalam memperkukuhkan semangat kecemerlangan serta memperluas lagi jaringan sosial dan ilmu pengetahuan mereka dalam suasana yang penuh bersemangat dan ceria.

Turut hadir Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof Madya Dr. Mastura Muhammad; Pengarah Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus; Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Fakulti Pengurusan Dan Ekonomi UPSI, Professor Madya Dr. Khalizul Khalid dan Timbalan Pendaftar Kanan BHEP, Pn. Maskana Bt Hj Ahmad.