Oleh: Mohamad Aniq Aieman, Nurin Zahreena dan Muhammad Asyraaf Izzuan

Mei 8, 2024

Tanjong Malim: Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (MMKAB) sidang 2023/2024 telah mengadakan Sesi Mesra Bersama Kepimpinan yang terdiri daripada barisan pentadbiran dan felo Kolej Aminuddin Baki (KAB) yang berlangsung pada 24 April 2024 seawal Jam 9 Malam bertempat di Pusat Aktiviti Pelajar, KAB. Program anjuran Exco Blok C iaitu Muhammad Hafiz Bin Nor Harswari ini melibatkan seluruh penghuni Kolej Aminuddin Baki yang terdiri daripada penghuni di Blok B dan Blok C.

Objektif utama program ini dijalankan adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim di antara penghuni bersama barisan pentadbiran dan felo serta Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki Sidang 2023/2024. Program ini dimulai dengan memperkenalkan barisan pentadbiran dan felo-felo yang menjadi peneraju kebitaraan Kolej Aminuddin Baki.

Sesi Mesra Bersama Pentadbiran dan Felo ini turut dihadiri oleh Pengetua Kolej Aminuddin Baki, Encik Zulkifli bin Mamat dan kakitangan pentadbiran dan staf serta felo-felo KAB.

“Para penghuni hendaklah memastikan rumah bersih dan berada dalam keadaan yang rapi. Sama-sama jaga antara satu sama lain, bekerjasama dalam mengharmonikan suasana bilik yang kondusif kerana itu adalah rumah kedua kita,” katanya semasa memberi taklimat peraturan Kolej Aminuddin Baki.

Tambahan pula, En Zulkifli juga menerangkan kepada semua penghuni Kolej Aminuddin Baki supaya tidak membawa barang-barang yang terlarang. Antara barang yang terlarang adalah seperti televisyen, peti ais, dan mesin basuh. Alatan-alatan seperti ini akan menyebabkan risiko kemalangan yang terlalu tinggi apabila dibawa, kerana boleh menyebabkan litar pintas dan boleh menyebabkan kebakaran yang berisiko meragut nyawa penghuni-penghuni yang lain.

Di samping itu, setelah selesainya taklimat berkenaan peraturan kolej, En Zulkifli juga turut menyempurnakan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Poster Estetik Ramadan dan Pertandingan Daie Millenia yang telah berlangsung semasa bulan ramadan yang lepas di bawah anjuran program Mahabbah Ramadan. Pertandingan seperti ini sedikit sebanyak dapat mencungkil bakat penghuni dalam mencipta sebuah poster yang estetik dan mengasah kemahiran diri untuk menjadi seorang Daie.

Diharapkan program ini mampu memberi impak positif kepada penghuni terutamanya dalam menjalinkan ikatan ukhuwah yang lebih erat di antara pihak pengurusan kolej bersamapenghuni kolej. Sekaligus memudahkan penyampaian info atau maklumat penting kepada seluruh warga Kolej Aminuddin Baki agar dapat terus maju memartabatkan nama Kolej Aminuddin Baki sebagai sebuah kolej yang cemerlang dan terbilang.

Selain itu, peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak kolej ini dapat melatih diri setiap penghuni untuk menjadi seorang mahasiswa dan mahasiswi yang lebih berdisiplin bagi mengharumkan nama Universiti Pendidikan Sultan Idris di seantero Universiti Pendidikan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)