Oleh: Natasya Alya
11 Mei 2024

Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Kelab Al-Mursyidin (AMC) telah melaksanakan ‘Program Talk: Normalisasi LGBT, Apa Kata Mahasiswa?’ di bawah kelolaan Lajnah Perhubungan dan Perpaduan Sosial AMC dengan kerjasama Pusat Islam UPSI, Majlis Pewakilan Pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), dan Kelab Steadfast Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk membincangkan isu yang semakin mendapat perhatian dalam kehidupan kampus sebagai mahasiswa.

Dengan kerjasama tiga universiti, program ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan masing-masing mengenai isu ini di kampus mereka dan berkongsi pendapat dalam menangani masalah LGBT di kalangan mahasiswa.

Program ini disambut baik oleh mahasiswa UPSI, dengan penyertaan melebihi kurang 160 pelajar yang turut hadir untuk mendengar perkongsian daripada panel yang terdiri daripada Yang Dipertua Majlis Pewakilan Pelajar universiti masing-masing.

Menurut Mantan Yang Dipertua Majlis Pewakilan Pelajar UPSI, Nik Ahmad Nuri Nik Ismail “Program ini memberi ruang kepada mahasiswa untuk berbincang secara terbuka mengenai isu-isu yang penting dalam kehidupan kampus.

Kami berharap dapat memupuk kesedaran dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai isu LGBT dalam kalangan mahasiswa.”

Manakala Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USAS, Muhammad Asyraf Raihanulazmi menambah, “Kerjasama antara tiga universiti dalam program ini adalah satu langkah penting untuk menghadapi isu-isu kompleks seperti LGBT dalam masyarakat pelajar.

Dengan berbincang secara terbuka dan menghormati pelbagai pendapat, kita dapat mencapai pemahaman yang lebih baik dan menemui penyelesaian yang sesuai.”

Melalui program sebegini, diharapkan mahasiswa dapat terbuka untuk berbincang dan menerima pandangan yang berbeza, serta memupuk budaya dialog dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai isu-isu sosial yang penting dalam kehidupan kampus.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)