Kuala Lumpur– Bengkel semakan semula Modul Pensijilan Profesional Ulul Albab yang dianjurkan oleh Pusat Ulul Albab telah berlangsung dari 1 hingga 3 Mac lalu. Bengkel yang disertai oleh 30 orang penulis modul sedia ada serta beberapa penulis baharu yang dilantik ini bertujuan untuk menambahbaik modul dan pentaksiran sedia ada agar lebih sesuai dengan keperluan situasi semasa. Ia turut bertepatan dengan hasrat Naib Canselor dalam meningkatkan kemahiran dan keupayaan mahasiswa UPSI yang rata-ratanya adalah bakal-bakal guru khususnya di Malaysia.
Turut memberi sokongan bagi bengkel ini adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Norkhalid Salimin. Beliau turut menyampaikan amanat serta perkongsian pada slot pertama bengkel dengan memberi penekanan terhadap beberapa isu berkaitan mahasiswa yang menuntut kreativiti serta usaha keras setiap Pusat Tanggungjawab (PTj) bawah portfolio beliau dalam membantu menghasilkan pelajar yang mempunyai kecemerlangan akademik tanpa mengetepikan nilai-nilai murni dalam diri.
Beberapa isu berkaitan pentaksiran juga turut dibincangkan bagi memastikan keberkesanan modul terhadap peserta pensijilan menjadi lebih jelas. Pentaksiran yang bersifat lebih menyeluruh adalah perlu bagi meningkatkan keberkesanan dan kemenjadian dalam diri para peserta. Antara aktiviti yang dijalankan dalam bengkel ini termasuklah perbincangan pemetaan antara satu modul dengan modul yang lain, perbincangan dalam kumpulan, pembentangan, dan sesi soal jawab. Setiap sesi perbincangan berlangsung dengan jayanya dengan banyak input dan perkongsian diperolehi daripada peserta untuk membantu penambahbaikan setiap modul.
Modul edisi baharu yang diperbaharui dirancang untuk diterbitkan sebelum tahun 2025. Harapan besar terletak pada modul ini untuk memberikan nafas baharu kepada Program Pensijilan Ulul Albab serta memberikan kesan yang lebih baik terhadap peserta yang akan datang. Dengan berakhirnya bengkel ini, diharapkan usaha-usaha pemantapan modul akan memberikan manfaat yang besar kepada program serta peserta pensijilan Ulul Albab pada masa akan datang.