Oleh: Fajrul Solehien

Tanjong Malim: Mesyuarat Lembaga Penasihat Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Siri 1/2024 telah diadakan di Bilik Mesyuarat Fakulti Pembangunan Manusia, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 15 Mei 2024 yang dipengurusikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Mesyuarat LPP UA ini turut melibatkan kehadiran Panglima Latihan Tentera Darat, Naib Canselor UA
yang merangkap sebagai Komandan PALAPES, wakil dari Markas Formasi Tentera Darat serta wakil Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Tujuan mesyuarat ini dilaksanakan adalah bagi membincangkan dasar, hala tuju PALAPES UA sebagai medium berinteraksi antara Kepimpinan Tertinggi Tentera Darat dan Pentadbiran Tertinggi UA. Turut diadakan pembentangan Pelaporan PALAPES Tahun 2024 dan pembentangan Penganjuran Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES UA ke-42 yang bakal diadakan di UPSI pada September.

Mesyuarat ini membincangkan pelbagai aspek persiapan untuk Istiadat Pentauliahan Diraja, termasuk logistik, latihan, dan protokol. Datuk Tengku Muhammad Fauzi menekankan pentingnya persiapan rapi bagi memastikan acara berjalan lancar dan mengikut protokol yang telah ditetapkan. Beliau juga menekankan peranan penting yang dimainkan oleh PALAPES dalam membentuk bakal pemimpin tentera yang berkualiti.

Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar juga turut mengambil kesempatan berjumpa secara dekat dengan Pegawai Kadet PALAPES UPSI untuk memberikan nasihat dan berkongsi kata-kata semangat bersama-sama pegawai pelatih yang hadir.

Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, dalam ucapannya, menyatakan komitmen UPSI untuk memastikan segala persiapan dilakukan dengan teliti. “UPSI bangga menjadi tuan rumah untuk mesyuarat penting ini dan akan memastikan semua keperluan dan persiapan bagi Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES dilakukan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Wakil-wakil universiti yang hadir juga memberikan pandangan dan cadangan bagi memperbaiki proses persiapan dan pelaksanaan istiadat tersebut. Mereka turut berbincang mengenai strategi untuk meningkatkan kerjasama antara universiti dan tentera darat dalam program PALAPES.

Mesyuarat ini diakhiri dengan sesi perbincangan terbuka di mana setiap wakil universiti berpeluang untuk mengemukakan soalan dan mendapatkan maklum balas secara langsung dari pihak tentera darat.

Dengan adanya mesyuarat seperti ini, diharapkan persiapan untuk Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES bagi tahun 2024 akan berjalan dengan lebih lancar dan sempurna, serta dapat meningkatkan lagi kualiti dan kredibiliti program PALAPES di universiti awam seluruh Malaysia.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)