Oleh: Ainun Zahiah Rosli
Tanjong Malim – Program Komuniti, Corporate Social Responsibility yang telah berlangsung pada 8 Mei lalu Sekolah Kebangsaan Hulu Bernam, Selangor.
Program ini dilaksanakan oleh 23 orang kadet Kor Sispa Batch Kesatria Biru dan seramai 75 orang pelajar prasekolah Hulu Bernam. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberikan pendekatan kepada kanak-kanak Prasekolah Hulu Bernam untuk mengenali apa itu Angkatan Pertahanan Awam (APM) melalui kaedah penyampaian yang menarik. Dalam pada itu, program juga dapat memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada komuniti berkenaan kemahiran asas pertahanan awam.
Terdapat pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung. Antaranya ialah sesi ‘ice breaking’ dan sesi santai bersama Pegawai Kadet Sispa (PKS). Bagi menaikkan lagi semangat dan perhatian pelajar prasekolah ini, aktiviti senamrobik dan ‘energizer’ dilakukan setelah dipecahkan kepada beberapa kumpulan.
Sebelum sesi pembentangan dilakukan, ahli PKS telah mempersembahkan sketsa yang dilakonkan oleh PKS Shane, PKS Hafiz dan PKS Aiman. Sketsa ini menerangkan tentang beg medik dan cara untuk merawat luka kecil. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan aktiviti pembentangan. Antara perkara yang dibentangkan ialah pengenalan tentang ‘Apa itu APM?’ kepada pelajar serta ‘Jom Kenali Beg Medik’. Rata-rata pelajar dapat menjawab soalan yang ditanya oleh fasilitor malah ramai yang ke hadapan untuk menjawab soalan.
Setelah rehat, program diteruskan lagi dengan permainan ‘monster’. Cara permainan ini dimainkan adalah pelajar perlu mengambil gula-gula daripada monster tanpa terkena bola yang diayunkan oleh monster tersebut. Aktiviti yang terakhir ialah aktiviti mewarna. Semasa aktiviti ini berlangsung, para fasilitator turut membantu pelajar mewarna dengan memberi tahu warna apa yang harus digunakan.
Program CSR Prasekolah ini turut dihadiri oleh Lt. Kol Bersekutu (PA) Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong, Timbalan Komandan Kor Sispa UPSI, Lt. (PA) Tuan Munir Wan Shahlan Bin Mohd Nazri, Timbalan Pegawai PA Daerah Muallim, serta Tenaga Pelajar Kor Sispa.
Penutupan Program Corporate Social Responsibility ini ditutup dengan ucapan aluan daripada Lt. Kol Bersekutu (PA) Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong. Seterusnya, ucapan perasmian daripada Tuan Harman Bin Harun, Guru Besar SK Hulu Bernam. Majlis diakhiri dengan tandatangan Sijil Jalinan antara SK Hulu Bernam dan Kor Sispa UPSI, serta penyerahan Plak Penghargaan dan penyerahan cenderamata kepada setiap kelas.
Melaui Program Corporate Social Responsibility Prasekolah Hulu Bernam yang telah dilaksanakan ini telah memberi nilai tambah kepada ahli PKS sendiri dalam mengendalikan kanak-kanak prasekolah. Diharapkan melalui program seperti ini dapat dilaksakan lagi memperluaskan lagi ilmu asas pertahanan awam kepada orang awam pada masa hadapan.