Oleh: Shahaniza Shamsuddin, NCDRC
NCDRC, UPSI, Tanjong Malim – Inisiatif antara Yayasan Bayyinah dan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam menyediakan ruang dan peluang kepada kepimpinan sekolah di Indonesia untuk menimba ilmu dan pengalaman di Malaysia ternyata menjadi kenyataan apabila berjaya menganjurkan program International Training School Leadership Personality Transformation Malaysia-Indonesia mulai 5 Mei hingga 11 Mei. Program siri kedua ini bukan sahaja mengukuhkan lagi hubungan kerjasama tetapi juga sebagai usaha peluasan kepada penerokaan amalan terbaik bidang pendidikan kanak-kanak antara kedua-dua buah institusi.
Program kali ini telah dihadiri oleh 10 orang peserta yang terdiri daripada guru besar sekolah, pendidik, pengurusan sekolah, pengurusan yayasan dan juga pemerhati sekolah sekitar Indonesia. Para peserta telah didedahkan dengan pelbagai topik kepimpinan yang sangat bermanfaat untuk dipraktikkan seperti berkaitan kepimpinan sekolah, komunikasi berkesan, pembangunan dan pengukuhan pasukan, penyelesaian masalah, isu murid, saringan awal kanak-kanak untuk kemasukan ke sekolah, pemikiran kreatif, strategi kepimpinan dan pengurusan emosi pintar.
Lebih menarik lagi, program ini turut melibatkan 30 pelajar Kursus KKH3053 (Kaunseling Komuniti) program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling Semester 8 dari Fakulti Pembangunan Manusia dalam usaha meningkatkan semangat peserta dari Indonesia untuk lebih mendalami latihan yang diberikan. Para peserta juga turut dibawa ke Balai Lintang Muallim bagi menjalankan aktiviti Problem Solving Cruise to Nowhere bagi menyediakan pengalaman pembelajaran yang unik untuk peserta, membantu mereka mengembangkan kemahiran sambil menikmati pengalaman berharga.


Selain itu, semua peserta turut dibawa mendapatkan pengalaman dan pengetahuan berkaitan pengurusan kanak-kanak berkeperluan khas di Permata Kurnia, Sentul. Ternyata pengalaman ini sangat bermanfaat bukan sahaja kepada peserta daripada Indonesia malah guru-guru di NCDRC juga turut berpeluang merasai pengalaman tersebut. Bagi memperkenalkan UPSI, semua peserta dibawa melawat ke Muzium Pendidikan Nasional UPSI dan melihat kemudahan yang ada di Perpustakaan Tuanku Bainun.


Menurut Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, “Melalui program ini, kesemua peserta dapat mencipta peluang untuk berkongsi kepakaran mereka dalam pembangunan kepimpinan yang boleh memberi manfaat luar biasa bagi kedua-dua negara. Ia memupuk persefahaman silang budaya, menggalakkan kerjasama, dan meningkatkan kumpulan bakat kepimpinan di rantau ini. Tambah beliau lagi, program ini juga berfungsi sebagai platform untuk rangkaian, pertukaran pengetahuan dan peningkatan kemahiran serta peserta boleh memacu perubahan positif seterusnya menyumbang kepada kemajuan komuniti mereka.”
Ketua Yayasan Bayyinah, Ibu Yusra Mayawati berkata, “Penganjuran program ini juga dilihat sebagai inisiatif yang baik dalam memastikan kolaborasi antara UPSI dan Yayasan Bayyinah dilaksanakan secara berterusan dan ini mampu membantu peserta yang hadir lebih memahami konsep kepimpinan di sekolah yang ingin dipelajari.


Program ini turut melibatkan penceramah-penceramah berpengalaman dari Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI dan luar seperti Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan, Dr. Nurbieta Abdul Aziz, Taquddin Abd Mukti dan Abdul Aziz Yatim.