Dato’ Nor Sham Rahman (enam dari kiri) bergambar bersama delegasi dari NCDRC

Ipoh – Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima jemputan daripada Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak pada 13 Mei bagi mengadakan pembentangan berkaitan Sistem Pangkalan Data Kanak-kanak Kebangsaan (NCDC) dan Sistem MySCREEN yang dibangunkan oleh NCDRC. Jemputan ini adalah rentetan daripada Kursus Penggunaan Sistem NCDC yang diberikan kepada beberapa pendidik dan pentadbir TASKA Genius SUK pada Januari lalu. Kunjungan NCDRC UPSI ini telah disambut baik oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan), Dato’ Nor Sham Rahman serta barisan pengurusan dan pendidik TASKA Genius SUK.

Kunjungan ke SUK Perak pada kali ini adalah langkah penting dalam memperluas penggunaan dan pengkomersialan Sistem NCDC dan MySCREEN terutamanya kepada TASKA di bawah SUK sendiri. Hal ini menunjukkan komitmen kedua-dua pihak untuk meningkatkan perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak serta meningkatkan akses kepada sumber daya yang relevan untuk tujuan tersebut.

Menurut Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) NCDRC, Prof. Madya Dr. Norazilawati Abdullah yang mengetuai kunjungan ini, “NCDRC amat menghargai komitmen SUK Perak yang turut menyokong dan menyahut penggunaan sistem NCDC dan MySCREEN ini. Kedua-kedua sistem yang dibangunkan ini diharapkan dapat disebarluaskan lagi kepada lain-lain TASKA di bawah SUK lain-lain negeri, tambah beliau.

Melalui kunjungan ini, beberapa cadangan telah diambil kira termasuk latihan lanjutan untuk kakitangan yang akan menggunakan sistem, promosi dan jangkauan kepada orang ramai tentang faedahnya, serta menambah baik infrastruktur teknologi yang menyokong penggunaan sistem yang baik. Dengan usaha bersepadu dan komitmen yang kuat, penggunaan sistem ini boleh menjadi instrumen yang ampuh dalam memajukan kebajikan kanak-kanak di peringkat nasional. SUK Perak, dan NCDRC UPSI memiliki peranan yang penting dalam menggalakkan penggunaan dan pengembangan sistem ini. Dengan kerjasama daripada kedua-dua pihak, dapat dilakukan pendekatan yang komprehensif dan diselaraskan untuk memastikan keberhasilan dan keberkesanan sistem tersebut dalam membantu aktiviti kesejahteraan kanak-kanak.

Kunjungan NCDRC ke SUK Perak turut dihadiri oleh Dr. Harnani Mat Zin, Penyelaras Sistem Data dan IT, Eimiza Faisha Azmi, Pegawai IT dan Shahaniza Shamsuddin Penolong Pendaftar Kanan, NCDRC.