Oleh: Nurin Aimi Syuhada
6 jun 2024
Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR) telah menganjurkan Program Give and Care PERMOR di Bitarasiswa, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) UPSI.
Program ini bertujuan untuk memberikan bantuan bakul makanan kepada pelajar yang kurang berkemampuan di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) UPSI. Sehubungan dengan itu, program ini diharapkan dapat meringankan beban pelajar, mengeratkan hubungan silaturahim, dan meningkatkan rasa peduli sesama warga UPSI di samping mempererat silaturrahim antara ahli PERMOR dan warga UPSI.
Menurut Yang Dipertua PERMOR, Vallenc Gary Hikson “objektif program ini selain dari meringankan beban pelajar FSK yang memerlukan, ianya juga bertujuan melahirkan kelompok pelajar yang mampu cakna dan bertanggungjawab. Pada masa yang sama meningkatkan kesedaran dan empati terhadap kisah dan pengorbanan seseorang yang kelihatan normal.”
Penasihat PERMOR, Dr. Sara Shakilla Mohd Salim, mengungkapkan rasa syukur kerana mahasiswa saling cakna dan peka terhadap keperluan rakan-rakan mereka. Beliau memberikan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan terima kasih atas usaha setiap ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus memastikan kelancaran program ini.
Program Give and Care PERMOR telah membuktikan bahawa pelajar UPSI mampu menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab sosial terhadap komuniti mereka. Melalui program sebegini, PERMOR dapat memperoleh pengalaman berharga dalam menyantuni pelajar di bawah FSK dan menjaga kebajikan mereka yang memerlukan.