Oleh: Muhammad Aniq Sapini
6 Jun 2024
Tanjong Malim: Kelab Penulisan Kreatif dan Deskriptif telah melakukan pengumpulan sajak Solidariti Palestin bermula pada 31 Disember 2023 sehingga 1 Februari 2024. Pengumpulan sajak solidariti ini dilakukan untuk menunjukkan cakna warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tentang keganasan yang berlaku di bumi Palestin. Tempoh masa sebulan diambil oleh kelab ini untuk menjayakan misi solidariti menerusi tulisan.
Selain itu, sajak yang dikumpulkan ini juga telah dibukukan oleh kelab. Seramai 54 orang penulis telah menyumbang karya mereka sehingga terkumpul sebanyak 64 buah sajak. Terdapat juga beberapa orang mahasiswa dan mahasiswi yang menghantar lebih dari satu sajak. Perkara menarik dalam pengumpulan sajak ini adalah penulis yang terlibat terdiri daripada pelbagai fakulti, bangsa, dan agama. Buku ini telah diselenggara oleh tiga orang penyelenggara iaitu Profesor Madya Dr Ghazali Din, Muhammad Aniq Sapini, dan Muhammad Daniel Ariffin.
Pada 1 Jun 2024 yang lalu, Kelab Penulisan Kreatif dan Deskriptif telah mengadakan Majlis Pelancaran Buku Antologi Sajak Palestin “Suara Dari Doa” bertempat di Dewan Sri Tanjung, UPSI. Program ini dihadiri oleh Naib Presiden Persatuan Penulis Budiman Malaysia (Budiman), Profesor Dr Azhar Wahid, Timbalan Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Dr Mohd Amir Mohd Zahari, Profesor Madya Dr Ghazali Din selaku penasihat kelab, dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar UPSI 2023/2024, Mohammad Amirul Hisyam.
Pada malam tersebut, terdapat tiga persembahan deklamasi sajak terbaik daripada buku tersebut. Program ini dirasmikan oleh Naib Presiden Persatuan Penulis Budiman Malaysia (Budiman), Profesor Dr Azhar Wahid yang sekaligus melancarkan buku Antologi Sajak Palestin “Suara Dari Doa”.
Menerusi program ini, dapat dilihat bahawa mahasiswa, mahasiswi, serta pensyarah di UPSI turut cakna dengan isu yang berlaku di Palestin. Diharap program ini memberi pengetahuan dan manfaat kepada masyarakat mengenai sokongan kita terhadap saudara yang berada di Palestin.