Disediakan Oleh: Hasya Hayazi dan Sofea Maisarah
20 Jun 2024
Tanjong Malim: Inovasi adalah kaedah untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan. Ia merupakan hasil cetusan idea kreatif dan inovatif dalam pelbagai aspek kerja yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi.
Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program ‘Zonakids Festival: Aspire To Inspire’ di Pusat Penyelidikan Kanak-kanak Negara (NCDRC) UPSI. Program ini bertujuan memberi pendedahan mengenai Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta meningkatkan kemahiran inovasi di kalangan kanak-kanak tadika dan murid tahap satu.
Seramai 1,000 pengunjung hadir dalam program ini, terdiri daripada pelajar tadika dan sekolah rendah tahap satu dari sekitar Hulu Perak dan Selangor, serta mahasiswa dan mahasiswi UPSI. Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti senamrobik, slot khas bersama NCDRC, pertandingan Inovasi “Our Kids, Beyond Imagination” untuk kanak-kanak, pertandingan booth pameran Inovasi “Zoonakids Booth Innovation Show: Express Your Own”, tayangan video khas dari Indonesia dan Jordan, slot khas bersama Mechabotics, gerai-gerai jualan basah dan kering, serta kehadiran pempengaruh media sosial, Amin dan Abid, yang memiliki pengikut di TikTok seramai 555.1k.
Amin dan Abid berkata, “STEM merangsang minat dan rasa ingin tahu. Kanak-kanak secara semula jadi mempunyai sifat ingin tahu dan suka meneroka. Pendidikan STEM memanfaatkan sifat ini dengan menyediakan aktiviti yang menarik dan menyeronokkan, seperti eksperimen sains, permainan komputer, dan rekaan teknologi. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga mendidik, menjadikan pembelajaran sebagai satu pengalaman yang positif dan menyeronokkan.”
“Pendidikan STEM juga memainkan peranan penting dalam membangunkan keyakinan diri. Apabila kanak-kanak berjaya menyelesaikan masalah atau menyempurnakan projek STEM, mereka akan merasakan kepuasan dan bangga dengan pencapaian mereka. Ini secara langsung meningkatkan keyakinan diri mereka dan memberi mereka motivasi untuk terus belajar dan mencuba perkara baru,” tambahnya lagi.
Program bermula dengan aktiviti senamrobik bersama kanak-kanak tadika dan sekolah rendah tahap satu, yang turut disertai oleh guru-guru mereka. Maskot seperti katak, dinosaur, dan harimau memeriahkan aktiviti senamrobik tersebut. Lagu-lagu bertemakan kanak-kanak menambah semangat dan keseronokan peserta.
Pengetua Kolej Ungku Omar, Profesor Madya Dr. Nizam Nasrifan berkata ketika majlis penutupan, “Program ini memberi galakan kepada golongan ‘Generasi Z’ khususnya kanak-kanak kecil untuk mereka meneroka lebih mendalam mengenai STEM. Negara kita semakin pesat dengan arus teknologi moden yang canggih. Sedikit sebanyak ia memberi celik akal kepada kanak-kanak untuk menimba ilmu melalui program ini untuk generasi mereka akan datang.”
Program ini memberikan impak positif kepada pelajar tadika dan pelajar sekolah rendah tahap satu, membangkitkan rasa ingin tahu mereka mengenai inovasi. Dengan pendedahan awal kepada konsep-konsep kreatif dan teknologi, mereka akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan dan berpotensi menjadi pemimpin inovatif dalam pelbagai bidang. Pengalaman ini bukan sahaja memperkaya pembelajaran mereka, tetapi juga memupuk semangat kolaboratif dan pemikiran kritis yang penting dalam dunia yang semakin kompleks dan berubah-ubah