Oleh: Nurul Sakinna Julakram
13 Jun 2024
Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Persatuan Pengurusan dan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (PPEFPE) dan Pusat Alumni UPSI menganjurkan Program Teraju Pendidikan: Efektif dan Kreatif yang menyaksikan penglibatan seramai 60 orang pelajar dari aliran pendidikan.
Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) tentang teknik dan strategi pengajaran yang akan diguna pakai ketika mereka berkhidmat sebagai guru kelak.
Penceramah juga sempat berkongsi medan atau platform terbaik untuk digunakan sebagai bahan bantu mengajar bagi menarik minat para pelajar dan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Sesuai dengan intipati program ini, penceramah yang dijemput adalah individu berbakat besar dan berpengalaman dalam dunia pendidikan.
Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris, Cikgu Mohamad Azlan Mohamad Noor, telah lama berkhidmat sebagai guru tingkatan enam di Kolej Tingkatan Enam Tapah. Kehadiran beliau sebagai penceramah dalam program ini amat menguntungkan semua pihak. Beliau memiliki banyak pengalaman dan kelebihan yang dapat menjadi faktor penarik kepada kemenjadian bakal guru di masa akan datang.
Melalui program ini, para pelajar dapat mempersiapkan diri mereka supaya dapat mengadaptasikan budaya kerja pada masa hadapan. Pada masa yang sama, program ini dapat meningkatkan motivasi dan semangat para pelajar untuk menjadi warga pendidik. Ini sangat penting kerana jiwa untuk menjadi seorang guru adalah intipati utama untuk melahirkan generasi berkualiti di masa hadapan.