Oleh: Muhamad Haikal Bin Musa
Kolej Awang Had Salleh, 20 Jun 2024 – Kursus Kepimpinan Kolej Awang Had Salleh yang berlangsung pada tanggal 20 Jun 2024 telah diadakan dengan jayanya di Dewan Kolej Ungku Omar. Kursus yang bermula pada jam 8.30 malam ini bertujuan memperkenalkan asas dalam dunia Majlis Mahasiswa Kolej kepada para peserta. Seramai 40 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar diploma dan ijazah sarjana muda semester 2, 3, dan 4 telah melibatkan diri dalam kursus kepimpinan ini.
Fasilitator yang bertanggungjawab dalam menjayakan kursus ini terdiri daripada barisan felo yang berpengalaman iaitu Encik Muhamad Haikal bin Musa, Encik Mohamad Afif Ammar bin Kamsani, Encik Muhamad Hafiz bin Abd Manap, Cik Nur Arina Shahirah binti Sharudin, dan Cik Fathin Nurul Ezzati binti Irwanhand. Mereka telah berkongsi ilmu serta pengalaman mereka dalam kepimpinan dan pengurusan, memberikan pendedahan yang amat berguna kepada bakal pemimpin wajah baharu kolej.
Menurut Pengetua Kolej Awang Had Salleh, Dr. Mardiana binti Ismail, kursus ini menekankan betapa pentingnya kursus ini dalam mempersiapkan pelajar dengan kemahiran kepimpinan yang diperlukan untuk memimpin dan menguruskan majlis mahasiswa dengan cekap dan berkesan. “Usaha ini dijalankan bagi mengenali wajah baharu dalam memilih majlis mahasiswa kolej sidang 2024/2025 dan saya berharap kolej ini bakal menjadi nombor satu di antara kolej yang ada,” ujar Dr. Mardiana. Harapan beliau adalah untuk melihat Kolej Awang Had Salleh terus maju dan unggul dalam bidang kepimpinan mahasiswa, menjadikan kolej ini sebagai contoh terbaik di antara kolej-kolej yang ada.
Kursus kepimpinan ini juga menjadi platform bagi para pelajar untuk mengasah kemahiran interpersonal mereka serta meningkatkan keyakinan diri dalam mengendalikan tanggungjawab besar di masa hadapan. Dengan pendedahan dan bimbingan daripada fasilitator yang berkaliber, para peserta pastinya mendapat manfaat besar dan bersedia untuk memikul peranan penting dalam majlis mahasiswa kolej.
Kolej Awang Had Salleh terus komited dalam usaha melahirkan pemimpin mahasiswa yang berkualiti dan berwawasan, dan kursus kepimpinan ini merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan untuk mencapai matlamat tersebut. Diharapkan program-program seperti ini akan terus dijalankan secara berterusan demi kemajuan dan kecemerlangan mahasiswa.