Oleh: Zaina Hafiza Zamri
21 Jun 2024

Tanjong Malim: Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan Majlis Sesi Pembentangan MyRA Tahun 2023, yang menampilkan hasil daripada auditan dalaman yang diketuai oleh Prof. Dr. Illyas Md. Isa yang berlangsung dari 4 hingga 10 Jun menggunakan glosari baharu MyRA pindaan 2023.

MyRA adalah instrumen yang mengukur kecemerlangan penyelidikan melalui sistem analisis berdasarkan input-proses-output (IPO), hasil (outcome) dan impak Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan, dan Inovasi (R&D&C&I) Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia.

Data yang diisytiharkan merangkumi semua input daripada pihak pengurusan institusi dan output daripada semua staf akademik yang aktif, meskipun telah mencapai bilangan maksimum dalam seksyen atau sub-seksyen yang dinilai. Pengumpulan data yang lengkap dan menyeluruh daripada setiap IPT adalah penting untuk membantu Pengurusan Tertinggi Institusi dan Kementerian merangka hala tuju dan dasar Pendidikan Tinggi Negara.

Hasil usaha dan kerjasama semua pihak, iaitu RMIC, kumpulan taskforce fakulti, dan Pusat Tanggungjawab, telah berjaya mengekalkan markah MyRA bagi Tahun 2023. Pelbagai usaha telah dilaksanakan dan dipergiatkan oleh pihak RMIC seperti klinik perundangan, bengkel penerbitan, klinik pengkomersialan dan harta intelek, serta klinik etika penyelidikan.

Semua ini adalah strategi dalam meningkatkan MyRA dan seterusnya ranking universiti. Perkongsian hari ini merupakan sebahagian daripada inisiatif yang dilaksanakan oleh RMIC untuk memberi pemahaman yang lebih jelas kepada pengurusan fakulti berkaitan dengan MyRA. Insentif berbentuk kewangan diteruskan melalui program Bintang Fakulti di mana satu bintang bersamaan dengan RM1,000.00 diberikan mengikut jumlah bintang yang dicapai oleh fakulti.

Naib Canselor UPSI, Dato’ Dr. Md Amin Md. Taff menyatakan dalam ucapan perasmiannya “Saya menyeru agar pihak RMIC dapat mempelbagaikan inovasi, pengkomersialan, dan penyelidikan dengan melaksanakan inisiatif dan strategi baru, di samping melibatkan pelajar sebagai ahli penyelidik.”

Beliau turut menyempurnakan pengesahan tandatangan dokumen auditan MyRA tahun 2023 serta menyampaikan sijil dan replika cek bintang fakulti kepada setiap fakulti yang berjaya.

Inisiatif penyampaian sijil dan penghargaan Bintang Fakulti ini bertujuan menggalakkan aktiviti penyelidikan dan 4P di peringkat fakulti. Dengan inisiatif ini, diharapkan pihak fakulti dapat menyemarakkan lagi kecemerlangan penyelidikan, seterusnya meningkatkan pencapaian institusi secara keseluruhan.

Majlis Sesi Pembentangan MyRA Tahun 2023 ini bukan sahaja berjaya mengekalkan prestasi lima bintang tetapi juga meningkatkan semangat dan motivasi seluruh warga akademik UPSI untuk terus cemerlang dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

Dengan usaha berterusan dan kerjasama erat semua pihak, UPSI optimis untuk mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi pada masa hadapan, seiring dengan aspirasi negara dalam bidang pendidikan tinggi.