Oleh: Dr Ikhwan Mat Saad
21 Jun 2024

Tanjong Malim: Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya mencatat pencapaian cemerlang dengan inovasi pendidikan dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Biologi Tingkatan 6 melalui penciptaan aplikasi Android yang berpotensi dimuat turun di Google Playstore.

Aplikasi ini bertujuan meningkatkan kemahiran melukis dan melabel dalam kalangan pelajar. Projek inovasi ini, yang diketuai oleh Dr. Muhamad Ikhwan Mat Saad bersama seorang pelajar Sarjana Pendidikan Biologi, Teoh Zhem Zhong, telah memenangi pingat emas dalam Malaysia Technology Expo (MTE) 2023. Inovasi ini menarik perhatian ramai, terutamanya pelajar Tingkatan 6, diploma, A-Level, dan pelajar perubatan di institusi pendidikan lain.

Aplikasi Android ini disokong oleh Geran Penyelidikan Universiti (GPU) sebanyak RM9476.00 kepada ketua penyelidik Dr. Muhamad Ikhwan Mat Saad, dan melalui pelbagai proses kesahan dan kebolehpercayaan daripada pakar teknologi serta pakar pendidikan. Projek ini juga melibatkan kerjasama dengan guru-guru Biologi Tingkatan 6 di seluruh Malaysia.

Aplikasi ini menyediakan garis panduan penggunaan mikroskop maya dan slide, termasuk latihan amali menggunakan mikroskop dengan betul dan berkesan. Selain itu, aplikasi ini juga mengandungi nota serta soalan-soalan pentaksiran alternatif berkaitan penggunaan mikroskop dan slide, terutama soalan melukis dan melabel seperti yang terdapat dalam pentaksiran Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Pembangunan aplikasi ini memberikan inovasi dalam bahan bantu mengajar guru dan bahan bantu belajar murid, memenuhi keperluan objektif pembelajaran Biologi Tingkatan 6 dalam topik penggunaan mikroskop.

Ramai pelajar menghadapi masalah melukis dan melabel secara manual apabila menggunakan mikroskop dalam makmal. Namun, dengan adanya aplikasi Android ini, kemahiran dan pengetahuan pelajar dapat ditingkatkan, sekali gus meningkatkan motivasi mereka. Aplikasi BioAppHisto6 dibangunkan berdasarkan model ADDIE (Analyze, Design, Develop, Implement, and Evaluate) dan telah melalui proses kesahan menggunakan pekali persetujuan Cohen Kappa. Penekanan terhadap kemahiran kognitif dan sosial seperti pemikiran kritis, analitikal, kerjasama, dan komunikasi turut diberikan perhatian dalam pembangunan aplikasi ini.

Dr Muhamad Ikhwan Mat Saad bersama dengan pelajar sarjananya cikgu Teoh Zhem Zhong

Pada pertandingan MTE 2023, inovasi ini mendapat banyak perhatian daripada universiti awam dan swasta lain kerana kemampuannya membantu kemahiran melukis dan melabel secara saintifik. Mereka mencadangkan agar idea serupa dikembangkan untuk topik dan mata pelajaran lain supaya inovasi ini dapat menjadi pembaharuan dalam pendidikan di Malaysia.

Kesimpulannya, pembangunan inovasi aplikasi Android ini membolehkan pelajar mengatasi masalah melukis dan melabel dengan baik serta meningkatkan motivasi mereka selepas menggunakan BioAppHisto6. Implikasi inovasi ini menunjukkan bahawa pembangunan BioAppHisto6, yang bercirikan aplikasi maya dan pembelajaran kendiri, mampu menggalakkan pembelajaran Biologi generasi Z selari dengan perubahan semasa. Aplikasi ini juga berpotensi diadaptasi ke mata pelajaran lain untuk membantu mencapai objektif pembelajaran yang ditetapkan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)