Sabak Bernam: Program empowerNCER Akademik yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah memberi impak positif terhadap prestasi pendidikan murid-murid SPM dan Orang Asli di negeri Perak.

Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin B. Md Taff, sebagai sebuah universiti pendidikan, UPSI bertanggungjawab memberikan perkhidmatan pendidikan terbaik kepada negara. Ini termasuk memastikan sistem pendidikan di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seiring dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Melalui program empowerNCER Akademik, UPSI menumpukan perhatian kepada komuniti, menjadikan pendidikan sebagai keutamaan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, menyatakan bahawa program empowerNCER Akademik mampu mewujudkan akses sama rata kepada pendidikan berkualiti serta membuka peluang pekerjaan. Ini dapat meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kadar pengangguran di negara ini. Selepas keputusan SPM diumumkan baru-baru ini, program empowerNCER Akademik meneruskan inisiatifnya dengan program penyerahan sumbangan modul ke daerah Sabak Bernam, Selangor, dengan kerjasama Majlis Belia Selangor.

Presiden Majlis Belia Selangor, Dato’ Mohd Imran B. Tamrin, mengakui bahawa inisiatif program empowerNCER Akademik di Perak memberikan manfaat yang besar. Kolaborasi ini dapat memperluaskan lagi manfaat program ke negeri Selangor, khususnya bagi daerah-daerah luar bandar seperti Sabak Bernam.

Melalui pelaksanaan program ini, sebanyak 300 naskah modul Sejarah SPM telah diberikan kepada beberapa buah sekolah terpilih di daerah tersebut. Sebanyak 50 set modul bagi setiap lima mata pelajaran teras sekolah rendah juga disumbangkan melalui Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam. Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam, Tuan Haji Yusaini bin Salleh, menyatakan bahawa beliau sangat berbesar hati menerima sumbangan modul tersebut. Ia memberikan manfaat besar kepada murid-murid di daerah luar bandar seperti Sabak Bernam. Sumbangan modul ini dapat membantu pihak sekolah dan murid-murid meningkatkan prestasi akademik melalui modul-modul yang dibangunkan oleh guru dan pensyarah pakar dari UPSI.

Inisiatif pelaksanaan program ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada pembelajaran murid-murid di daerah Sabak Bernam. Usaha ini bertujuan membantu komuniti murid dalam memartabatkan dan memperkasakan pendidikan di Malaysia.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)