Oleh: Nurul Husmi Sulaiman
25 Jun 2024
Tanjong Malim: Pembelajaran melalui kemahiran saintifik memberi impak positif kepada perkembangan awal kanak-kanak dengan menekankan kemahiran sains awal. Kemahiran ini fokus kepada perkembangan deria dan pemahaman dunia persekitaran. Kanak-kanak mempelajari sesuatu konsep dengan baik melalui pendedahan aktiviti yang dilakukan dengan pemerhatian, penerokaan, dan penyiasatan mendalam terhadap topik yang diminati.
Bagi memastikan setiap kanak-kanak di Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) mendapat pendidikan terbaik, NCDRC mula mengorak langkah mendedahkan kanak-kanak berusia empat tahun kepada aktiviti penerokaan alam sekitar melalui penyiasatan sifat bahan. Aktiviti ini melibatkan penerokaan dan pemerhatian penyiasatan terhadap buah lemon dan soda. Seramai 20 orang kanak-kanak terlibat dalam aktiviti ini yang dijalankan oleh pendidik NCDRC.
Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, menyatakan bahawa kanak-kanak lebih memahami sesuatu topik jika terlibat secara langsung dalam aktiviti penyiasatan, terutamanya dalam penerokaan bahan dan alam. Kanak-kanak dapat memerhati dan melihat sendiri perubahan yang berlaku serta dapat menyatakan pandangan mereka.
Pengurus NCDRC, Norazlina Khairuddin, berkata bahawa kanak-kanak di NCDRC sudah mula didedahkan dengan aktiviti saintifik sejak usia bayi lagi. “Aktiviti sebegini telah kami dedahkan kepada kanak-kanak sejak mereka berusia bayi melalui aktiviti-aktiviti yang telah dirancang secara bersesuaian dengan perkembangan umur. Kita dapat lihat perbezaan yang berlaku dari segi tindak balas kanak-kanak mengikut usia.”
NCDRC terus komited melestarikan pembelajaran yang bersesuaian, seimbang, dan menarik bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat pendidikan terbaik. NCDRC juga bersedia berkongsi kepakaran pendidik kepada komuniti dan masyarakat.