Oleh: Dr. Raja Ahmad Shalaby Raja Hassan
24 Jun 2024
Tanjong Malim: Berita adalah sebuah laporan atau informasi tentang peristiwa yang berlaku, dan penunulisan berita memerlukan kemahiran yang tersendiri. Unit Latihan Bahagian Sumber Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Kursus Menulis Berita e-Pena bertujuan mengasah lebih ramai bakat baru dalam bidang berkenaan.
Kursus ini dibimbing oleh Prof. Madya Dr. Ghazali Din, seorang yang berpengalaman luas dalam menulis berita di media arus perdana. Menurut Dr. Ghazali, bakat penulisan seseorang perlu diasah dan dipraktikkan sentiasa, terutamanya menerusi saluran yang disediakan oleh pihak universiti, iaitu e-Pena.
Beliau juga memberikan panduan mengenai format penulisan yang betul dan gaya penerbitan di agensi berita. Ini penting supaya penulisan berita yang disampaikan dapat diterbitkan segera tanpa memerlukan terlalu banyak suntingan oleh editor.
E-Pena merupakan platform yang dibangunkan khusus untuk kakitangan UPSI melaporkan peristiwa yang berlaku, seperti majlis rasmi universiti, penganjuran seminar dan persidangan, serta program pelajar. Ia dikendalikan oleh kakitangan Bahagian Komunikasi Korporat.
Dengan adanya e-Pena, UPSI berharap dapat meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti penulisan berita yang diterbitkan, sekaligus mengukuhkan komunikasi dan penyebaran maklumat dalam kalangan warga universiti.
Kursus ini merupakan langkah proaktif UPSI dalam memupuk dan mengembangkan bakat penulisan di kalangan kakitangannya, sekaligus memastikan laporan berita yang dihasilkan lebih profesional dan berkualiti tinggi. Semoga melalui inisiatif ini, UPSI akan terus cemerlang dalam bidang penulisan berita dan komunikasi korporat.