Oleh: Dr. Raja Ahmad Shalaby Raja Hassan dan Fajrul Solehien
25 Jun 2024
Tanjong Malim: Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini menjadi salah satu daripada enam institusi pengajian tinggi terpilih yang menempatkan ISRA Corner, sebuah inisiatif penting untuk memperkaya pengetahuan dan pengalaman dalam bidang kewangan Islam.
Projek ini dijayakan dengan penajaan oleh CIMB Islamic Bank serta kerjasama International Centre of Education in Islamic Finance (INCEIF) University dan Pusat Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA).
Sejak tahun 2021, CIMB Islamic Bank telah bekerjasama dengan ISRA untuk projek ISRA Corner, dan sehingga kini, enam institusi pengajian tinggi tempatan telah menempatkan sudut ini, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA Puncak Alam, Universiti Islam Antarabangsa, Politeknik Nilai, Universiti Sains Islam Malaysia, dan Universiti Islam Selangor. Pada tahun 2024, CIMB Islamic Bank telah menyalurkan dana sebanyak RM315,000 untuk projek ISRA Corner di enam universiti tempatan terpilih, termasuk UPSI.
Majlis peluncuran ISRA Corner disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, yang bertindak sebagai pemangku Naib Canselor UPSI. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli; Pendaftar Helmi Zaifura Abdul Rahman; Bendahari Mohamad Najib Mohamed, dan Dekan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Prof. Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor.
Dalam ucapannya, Prof. Dr. Norkhalid Salimin menyatakan harapannya agar Perpustakaan Tuanku Bainun menjadi kunjungan utama para penyelidik untuk mengakses bahan-bahan berkaitan perbankan dan kewangan Islam.
Beliau juga menambah bahawa perpustakaan ini boleh menganjurkan seminar, persidangan, dan kursus yang berkaitan untuk manfaat semua pihak. “Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen kita bersama dalam membentuk generasi pemimpin masa depan yang berilmu dan berwawasan,” ujar beliau.
ISRA Corner merupakan ruang sehenti yang menampilkan semua penerbitan INCEIF termasuk kertas penyelidikan, buku teks, dan jurnal ilmiah. Ia dilengkapi dengan dua terminal komputer khusus yang memberikan akses percuma kepada Repositori Pengetahuan Kewangan Islam (I-FIKR).
Repositori ini ialah platform inovatif dan dinamik yang dimulakan untuk memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat terhadap pengetahuan yang kukuh tentang ekonomi dan kewangan Islam daripada sumber yang bereputasi. I-FIKR boleh diakses dari mana-mana peranti di ‘https://ifikr.my’.
INCEIF University diwakili oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ISRA International Consulting Sdn. Bhd., Wan Rizaidy Wan Mohd Saufi menyatakan dalam ucapannya bahawa Perpustakaan Tuanku Bainun adalah antara enam lokasi strategik yang terpilih untuk menempatkan ISRA Corner.
“ISRA Corner akan menjadi pusat sumber dan rujukan bagi pelajar dan pensyarah untuk mendalami ilmu kewangan Islam serta aplikasi praktikalnya.
Saya yakin, dengan adanya ISRA Corner, pelajar-pelajar kita akan lebih terinspirasi untuk meneroka bidang kewangan Islam dengan lebih mendalam dan menghasilkan kajian-kajian yang berkualiti tinggi,” tambah beliau.
Penubuhan ISRA Corner ini adalah bukti nyata komitmen UPSI dan INCEIF untuk memperkasakan pendidikan kewangan Islam melalui kolaborasi yang erat.
Tema Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, “Leading Future Minds,” adalah selaras dengan visi dan misi UPSI sebagai institusi pendidikan yang komited untuk melahirkan graduan yang berfikiran kritis, kreatif, dan berdaya saing.
ISRA Corner diharapkan dapat menjadi pusat rujukan unggul bagi pelajar dan pensyarah untuk mendalami ilmu kewangan Islam serta aplikasi praktikalnya.
Majlis peluncuran ISRA Corner di UPSI bukan sahaja merupakan pencapaian penting bagi fakulti tetapi juga memberi manfaat besar kepada seluruh warga universiti dalam meningkatkan pemahaman dan penguasaan mereka dalam bidang kewangan Islam.
Ini menunjukkan komitmen tinggi pihak INCEIF dalam memastikan keberkesanan dan kelangsungan inisiatif ini, dengan INCEIF menaja RM70,000 untuk tujuan penubuhan sudut ISRA Corner serta kos langganan Jurnal I-FIKR selama tiga tahun secara percuma.