Oleh: Haikal Musa & Afif Ammar
25 Jun 2024
Tanjong Malim: Tanggal 23 Jun 2024 menjadi detik bersejarah bagi Kolej Awang Had Salleh (KAHS) apabila mereka berjaya menjuarai Bola Sepak Super UPSI 2024. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan kolej tersebut, tetapi juga menjadi bukti bahawa usaha gigih dan semangat juang yang tinggi tidak pernah mengkhianati hasil.
Pertandingan yang berlangsung sengit itu menyaksikan pasukan KAHS beraksi dengan penuh dedikasi dan semangat. Saingan hebat dari kolej lain tidak sedikit pun mematahkan semangat mereka, malah menjadi pemangkin untuk terus berjuang hingga ke saat akhir. Kemenangan ini adalah hasil kerja keras pemain, jurulatih, dan juga sokongan padu daripada penyokong setia mereka.
Danniel Mohtar, pelajar diploma Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKJ) semester lima dari KAHS, yang juga merupakan jurulatih pasukan, menekankan bahawa strategi adalah kunci utama dalam permainan bola sepak ini. Menurutnya, tanpa strategi yang baik, sukar untuk pasukan mencapai kemenangan.
Danniel juga telah banyak mengharumkan nama universiti dalam melibatkan diri di FAM Piala Presiden, Liga IPT dan juga memiliki FAM Coaching License (Grassroots). Contoh yang baik ini hendaklah menjadi teladan buat semua penghuni KAHS dan warga UPSI.
Salah satu faktor utama kejayaan ini adalah sokongan tidak berbelah bahagi daripada penasihat felo, Encik Afif Ammar, pengurus pasukan bola sepak, Boniface Garin, pelajar semester dua Fakulti Sains dan Matematik, dan para ultras yang diketuai oleh Cik Fathin Nurul Ezzati Irwanhand.
Warga KAHS turut hadir memberi sorakan gemuruh di setiap perlawanan, membawa sepanduk, dan menyanyikan lagu-lagu ultras yang menaikkan semangat pemain. Keberadaan ultras ini menjadi suntikan motivasi tambahan bagi pasukan untuk bermain dengan lebih bersemangat dan penuh keyakinan.
Pengetua KAHS, Dr. Mardiana Ismail, turut merasakan kejayaan ini sebagai hadiah yang paling bermakna dalam ulang tahun kelahirannya. Beliau yang sentiasa memberikan sokongan moral dan nasihat kepada pemain menganggap kemenangan ini sebagai hasil daripada usaha berpasukan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi.
“Kejayaan ini bukan sahaja milik pemain, tetapi juga milik seluruh warga KAHS yang telah bersama memberi sokongan tanpa henti. Saya amat berbangga dengan pencapaian ini, dan ia merupakan hadiah yang sangat bermakna bagi saya,” ujar Dr. Mardiana dengan penuh kegembiraan.
Kesimpulannya, kejayaan KAHS dalam Bola Sepak Super UPSI 2024 adalah bukti bahawa usaha yang berterusan dan semangat juang yang tinggi pasti akan membuahkan hasil yang manis. “Usaha tangga kejayaan” amat sesuai menggambarkan kejayaan ini. Pengorbanan dan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap individu yang terlibat menjadi inspirasi kepada semua bahawa tiada kejayaan yang mustahil untuk dicapai jika kita berusaha dengan tekun dan tidak mudah berputus asa.