Oleh: Nurul Aida Mohamed Adam
25 Jun 2024
Sintok: Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) telah menerima jemputan untuk menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Awam 2024 yang diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM).
EDGE telah membawa seramai 30 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk memeriahkan majlis perasmian dan melawat pameran kerjaya yang dianggotai oleh hampir 50 agensi dari pelbagai bidang.
Selain menghadiri majlis pelancaran, EDGE dan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (MPPUPSI) mengambil inisiatif untuk mengadakan lawatan rasmi ke Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPPUUM).
Lawatan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara kedua institusi serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang kepimpinan pelajar dan pembangunan keusahawanan. Dr. Sharul Effendy Jainudin, Pengarah EDGE UPSI dan alumni UUM, turut hadir dalam lawatan ini dengan penuh nostalgia dan semangat untuk berkongsi pengalaman.
Dalam sesi perbincangan dengan MPP UUM, pelbagai isu berkaitan kepimpinan pelajar, cabaran dalam pembangunan keusahawanan, dan strategi untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dibincangkan dengan terperinci.
Wakil MPP dan pusat pembangunan dari kedua-dua universiti berkongsi pandangan dan cadangan untuk memperbaiki program-program sedia ada serta mencadangkan kolaborasi masa depan.
Pada keesokan harinya, kesemua delegasi hadir untuk memeriahkan Majlis Pelancaran Bulan Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Awam 2024. Program ini dijangka memberikan impak positif kepada kebolehpasaran graduan, khususnya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
UPSI berharap program ini akan menyediakan lebih banyak peluang kepada graduan untuk berhubung dengan industri dan majikan, sekaligus meningkatkan kebolehpasaran mereka melalui program latihan, bengkel kerjaya, dan peluang jaringan.
Selain itu, majlis ini diharapkan dapat menjadi platform perkongsian maklumat terkini mengenai peluang pekerjaan, tren industri, dan kemahiran yang diperlukan, membolehkan graduan mempersiapkan diri dengan lebih baik untuk memasuki alam pekerjaan.
UPSI juga berharap dapat memperkukuhkan kerjasama dengan pihak industri, memahami keperluan mereka, dan menyesuaikan kurikulum serta program latihan untuk memenuhi permintaan tersebut.
Melalui penyertaan dalam program ini, UPSI berharap dapat memperkenalkan dan mempromosikan program-program akademik mereka, serta meningkatkan pengiktirafan terhadap usaha universiti dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing.