Oleh: Dr Ardzulyna Anal dan Fajrul Solehien

Tanjong Malim, 26 Jun 2024: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuhkan usaha untuk membangunkan generasi holistik apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM).

Majlis menandatangani MoU ini disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) bersama Guru Utama dan Presiden PSSCM, Datuk Haji Maideen Kadir Shah.

Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Dr. Norkhalid menegaskan bahawa keseimbangan antara pencapaian akademik dan sahsiah adalah aspek penting dalam pembentukan generasi holistik pada masa hadapan. Menerusi Aspirasi UPSI 2024 yang memperkenalkan enam teras utama BITARA – Bakat Unggul & Holistik, Inovasi & Penyelidikan, Transformasi Teknologi, Adab, Akhlak & Akademik, Revolusi Ekosistem, dan Adaptasi Global – UPSI berusaha untuk membangunkan pembangunan akademik, infrastruktur dan modal insan sejajar dengan moto universiti, ‘Peneraju Kebitaraan Pendidikan’.

Kerjasama antara UPSI dan PSSCM bukan sahaja menambah nilai dan kepelbagaian pilihan kepada komuniti UPSI, tetapi juga mempergiatkan inovasi dan penyelidikan berasaskan keperluan universiti dan permintaan pasaran.

PSSCM yang diasaskan oleh Ustaz Haji Hanafi Ahmad pada 28 Disember 1965, telah berkembang pesat melalui pembangunan penyelidikan dalam pelestarian budaya, nilai ilmu persilatan dan pemeliharaan warisan.

MoU ini akan membuka pelbagai peluang kerjasama antara kedua pihak, antaranya Penyelidikan: Berkongsi kepakaran dalam memperkasakan pelestarian budaya, nilai ilmu persilatan dan pemeliharaan warisan selaras dengan pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) ke-11.

Penerbitan Ilmiah, di mana kedua pihak bekerjasama menerbitkan buku dan jurnal berimpak yang memartabatkan nilai ilmu persilatan, khususnya Seni Silat Cekak Malaysia; Pembangunan Akademik, pihak UPSI menawarkan kursus elektif dalam bidang persilatan yang selari dengan keperluan semasa; Aktiviti Pelajar, pelaksanaan program antara pelajar dan PSSCM untuk memperkasakan kemahiran insaniah dan nilai keusahawanan; Perundingan dan Ilmu yakni kolaborasi dalam aspek perundingan dan perkembangan nilai ilmu.

Majlis menandatangani MoU ini turut disaksikan oleh Pendaftar UPSI, En. Helmi Zaifura Abdul Rahman, dan Pengarah Institut Peradaban Melayu UPSI, Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said manakala, Delegasi PSSCM diwakili oleh Presiden PSSCM, Datuk Haji Maideen Kadir Shah; Naib Presiden PESAKA Malaysia merangkap Naib Presiden PSSCM, En. Safran Haji Ahmad; Setiausaha Agung PSSCM, En. Mohd Hafiz Jamil bersama 11 orang delegasi PSSCM yang lain.

Pertukaran cenderahati dan sesi bergambar menandakan simbolik kerjasama ini, mengakhiri majlis dengan penuh makna dan semangat untuk masa depan yang lebih cemerlang dalam bidang pendidikan dan pelestarian warisan budaya.