Oleh: Nur Emilia Hanani Salahudin, Nurul Syahidah Jaharin, Siti Aisyah Abu Hanifah, Nur Alia Amira Che Musa, Norsabilla Balqis Kamarul Nizam, Ts. Dr. Suzita Ramli

Tanjong Malim: Seramai 24 pelajar yang mengambil subjek Prinsip Mikrobiologi daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan 24 kanak-kanak dari Tadika Little Caliph, Tanjung Malim telah berjaya menjayakan program ‘Let’s Explore the Microbial World’.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) untuk kursus ini. Matlamat utama program ini adalah untuk berkongsi ilmu pengetahuan mengenai dunia mikrobiologi yang dipelajari di dalam kelas dengan komuniti, serta meningkatkan teknik dan kebolehan berkomunikasi para mahasiswa UPSI yang bakal menjadi pendidik kelak.

Program ini diketuai oleh saudara Muhammad Amirul Hakimi Hamdi dan di bawah bimbingan Ts. Dr. Suzita Ramli, pensyarah kursus tersebut. Program dimulakan dengan sesi “Ice Breaking” bersama kanak-kanak tadika tersebut. Selepas itu, kanak-kanak didedahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Explore Tiny Monster, Apa itu Mikrob?, Welcome to Detective Tiny Titans, Microbe and Cutting Board, dan Bakteria Baik, Bakteria Jahat.

Kanak-kanak berpeluang mempelajari pelbagai bentuk mikroorganisma seperti bentuk rod dan vibrio serta merasai pengalaman mengendalikan model mikroskop. Melalui aktiviti ini, mereka dapat meningkatkan pengetahuan dalam mengenali pelbagai jenis mikroorganisma, baik dan jahat, yang dapat mempengaruhi kesihatan manusia.

Mereka juga didedahkan dengan cara mencuci tangan yang betul untuk mengelakkan jangkitan kuman serta mempelajari kepelbagaian papan pemotong yang digunakan di rumah. Umumnya, mikroorganisma seperti virus dan bakteria yang terdapat di sekeliling kita tidak dapat dilihat dengan mata kasar, dan kewujudan makhluk kecil ini boleh menjadi punca jangkitan penyakit.

Oleh itu, program ini memberi manfaat besar dalam memberikan kesedaran tentang pentingnya penjagaan kebersihan, terutama bagi kanak-kanak yang sering terdedah kepada kuman dalam aktiviti harian mereka dan mempunyai sistem imuniti yang lebih rendah berbanding orang dewasa.

Program SULAM ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kanak-kanak tadika tersebut yang teruja menjalankan aktiviti bersama mahasiswa UPSI. Kanak-kanak ini juga telah ditemu bual dan rata-rata mereka menyatakan bahawa program ini sangat menarik dan mereka gembira dengan kehadiran mahasiswa sebagai guru muda yang menjadi pembimbing mereka. Analisis keberkesanan program juga telah dijalankan di mana tahap pengetahuan majoriti kanak-kanak mengenai mikroorganisma telah meningkat.

Kesimpulannya, program SULAM yang berkonsepkan permainan ini telah berjaya dilaksanakan dan memberi impak positif kepada kanak-kanak yang terlibat umumnya, serta kepada pelajar kursus ini khususnya. Program ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran mahasiswa tetapi juga memberi sumbangan bermakna kepada komuniti dengan meningkatkan kesedaran tentang mikrobiologi dan kepentingan kebersihan.