Oleh: Larrydley Jaimon

Slim River, 26 Jun 2024: Pertanian adalah aktiviti penanaman tanaman dan pemeliharaan haiwan untuk makanan, serat, bahan mentah, dan produk lain. Ia melibatkan pelbagai proses dan teknik untuk menghasilkan hasil yang berkualiti dan mencukupi. Pertanian di Malaysia dijalankan dengan pelbagai cara yang berbeza mengikut keperluan, termasuk penanaman konvensional, penanaman moden, dan pertanian urban.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui program Aquagreen Innovative Planting For Earth “Tanaman Hijau Untuk Bumi,” yang dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO), telah membuka inisiatif untuk memupuk minat mendalam dalam bidang pertanian di kalangan golongan muda, terutama murid-murid sekolah.

Dengan kesedaran tentang pentingnya memupuk minat bertani dalam kalangan murid-murid dan pelajar universiti, program bertemakan ‘Tumbuhan Hijau untuk Bumi’ bertujuan untuk memastikan setiap peserta memiliki kesempatan mempelajari dan mengetahui lebih mendalam tentang penanaman yang inovatif dan moden seperti sistem penanaman hidroponik dan aquaponik.

Program ini telah disertai oleh 150 orang murid dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Zulkifli, 10 orang sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa Kolej Ungku Omar (KUO) dan Kolej Aminuddin Baki (KAB).

Program ini turut mendapat kerjasama daripada pelajar subjek di bawah penasihatan Dr. Shafeeqa Sharudiin bagi subjek VRA3013 Reka Bentuk Teknologi Pertanian, Fakulti Teknikal dan Vokasional, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Zulkifli, Joe Jalil, dan Jeffarm Hydroponic.

Pengetua Kolej Ungku Omar Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan, menyifatkan bahawa program Aquagreen Innovative Planting For Earth ‘Tanaman Hijau untuk Bumi’ membawa pelbagai manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

Program ini bukan sahaja mengajarkan konsep dan teori penanaman tumbuhan secara moden atau urban, tetapi juga mengadaptasikan teori tersebut kepada aktiviti amali yang memberikan pengalaman praktikal kepada peserta dalam membina dan membangun tanaman secara moden seperti sistem penanaman hidroponik dan aquaponik.

Dalam ucapannya, Penasihat Program, En. Alamin Ismail, menegaskan bahawa program ini wajar diteruskan dan diperluaskan sasarannya. Selain membantu murid-murid mengetahui bidang pertanian dengan lebih mendalam, ia juga mampu membuka mata mereka dan pihak sekolah untuk menceburi bidang STEM dengan lebih mendalam, seterusnya melahirkan murid yang berkemahiran dalam pelbagai bidang.

Program ini turut dihadiri oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Zulkifli, dalam sesi perasmian penutupan program. Kejayaan program ini menandakan langkah positif dalam usaha memupuk minat pertanian urban di kalangan generasi muda, yang diharapkan dapat memberi impak jangka panjang kepada sektor pertanian negara.