Oleh: Intan Farahana Abdul Rani

Tanjong Malim, 8 Jun 2024: Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Majlis Apresiasi Guru NCDRC bertemakan ‘Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani’ di Dewan Jauhar, NCDRC pada 8 Jun lalu.

Majlis apresiasi guru ini diadakan bersempena dengan sambutan hari guru pada setiap tahun yang disambut pada 16 Mei. Tujuan majlis apresiasi ini diadakan adalah untuk menghargai jasa dan peranan guru di NCDRC yang turut sama mengembleng tenaga dalam pembangunan modal insan negara terutamanya pendidikan kanak-kanak bermula dari awal usia.

Sempena Majlis Apresiasi Guru NCDRC ini, tema pakaian yang dipilih adalah ‘Back to School’. Sambutan ini telah dirancang dan dilaksanakan oleh barisan pengurusan NCDRC dengan aturcara majlis yang melibatkan persembahan oleh barisan pentadbiran dan juga guru-guru praktikal. Selain itu, majlis dimeriahkan dengan penyampian beberapa kategori anugerah buat guru-guru.

Menurut Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr Mazlina Mustafa, majlis apresiasi ini adalah sebagai salah satu bentuk penghargaan atas segala pengorbanan, kerjasama, tenaga dan masa yang diberikan bagi mendidik anak bangsa.

“Pengiktirafan dan anugerah yang disediakan sebenarnya tidak dapat membayar segala keringat yang dicurahkan oleh semua guru NCDRC. Komitmen tinggi yang diberikan oleh para guru NCDRC sangat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih”, ujar beliau.

Beliau berkata komitmen dan peranan guru dalam pembangunan karakter anak-anak tidak dapat disangkal disamping proses dan aktiviti pengajaran yang disampaikan. Sokongan guru dalam membentuk keperibadian dan sahsiah kanak-kanak adalah sangat penting.

“Guru juga merupakan pakar rujuk masyarakat. Jasa dan pengorbanan guru sangat besar dan tidak mungkin dilupakan,” ujarnya lagi.  

Program yang dianjurkan ini juga menyajikan pelbagai aktiviti dan diakhiri dengan jamuan makan bermula pada pukul 10.30 pagi telah berakhir pada pukul 12.30 tengah hari.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)