Hulu Selangor, 22 Jun 2024- Jabatan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) daripada kursus HGF3053 iaitu Kajian Sumber Alam dan Alam Sekitar bersama pensyarah kursus Dr. Mohmadisa Hashim menganjurkan Geoenviro Sustainability Community. Program yang berlangsung di Surau Al-Azim, Taman Rajawali, Kalumpang itu bermula jam 8.00 pagi sehingga 2.00 petang. Program ini dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), FSK Dr. Abu Zarrin Selamat.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang betapa pentingnya pengetahuan tentang kesejahteraan alam sekitar. Program ini juga dapat mendorong para pelajar untuk lebih berdisiplin dan mampu untuk memastikan kebersihan terhadap alam sekitar. Ilmu-ilmu berkenaan amatlah penting dan berguna supaya para pelajar dapat lebih peka dan tidak sewenangnya mengambil langkah mudah merosakkan sumber alam. Kesedaran bahawa pentingnya pengetahuan sumber alam dan alam diperlukan agar para pelajar dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan serta menjaga keseimbangan alam sekitar.
Program ini memberi pendedahan dan peluang kepada pelajar untuk bekerjasama dengan komuniti masyarakat untuk melakukan pelbagai aktiviti kesedaran alam sekitar serta membina jati diri pelajar untuk merancang pelbagai aktiviti bagi program kesedaran alam sekitar sekaligus membentuk semangat kerjasama dalam kalangan pelajar dengan komuniti di kawasan berkenaan.
Dr. Abu Zarrin menzahirkan rasa bertuah kerana mahasiswa saling cakna dan peka terhadap kesedaran berkhidmat terhadap masyarakat setempat dan kepentingan untuk mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada ahli jawatankuasa Kesatuan Rukun Tertangga (KRT) Taman Rajawali yang terlibat seperti Pengerusi KRT, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah dan kesungguhan pelajar kursus HGF3053 untuk menjayakan program ini bukan sahaja menyedarkan kita terhadap kepentingan menjaga alam sekitar tetapi keterampilan terhadap berkomunikasi dan mencipta hubungan yang baik terhadap masyarakat demi menjaga kesejahteraan hidup.
“Program seperti ini adalah satu program yang sangat bermanfaat kerana dapat memberi pengalaman yang lebih mendalam terhadap bagaimana berkomunikasi dengan masyarakat setempat serta menghayati kehidupan bersama alam sekitar. Kehidupan manusia saling berinteraksi dengan persekitaran. Saya percaya program seperti ini juga dapat memberi semangat dan motivasi kepada pelajar untuk sentiasa menghargai dan menjaga alam sekitar di samping menjaga hubungan baik sesama manusia”, katanya.